5.9 tan produk kayu dari China dirampas
JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 5.9 tan produk kayu dari China di Pelabuhan Pasir Gudang, Selasa lalu.
Pengarah Maqis Johor, Edie Putra Md Yusof berkata, rampasan itu dibuat susulan pemeriksaan yang dilakukan pada sebuah kontena pada jam 4 petang.
"Hasil pemeriksaan menemukan produk kayu iaitu "Wooden Frame Wheat Straw" seberat 5,913 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM75,000.
"Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati produk kayu tersebut juga tidak menjalani sebarang rawatan seperti mana yang telah ditetapkan di dalam syarat pengimportan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah menjadi suatu kesalahan dibawah Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728].
Katanya, jika sabit kesalahan boleh dihukum mengikut Seksyen 11(3) di bawah Akta sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.
"Maqis sentiasa memantau dan memeriksa keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara untuk memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!