Saya akan bayar PKR 'seringgit-seringgit' - Zuraida

Zuraida.
Zuraida.
A
A
A

PUTRAJAYA – Bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Zuraida Kamaruddin menyatakan, keputusan Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu, supaya tidak membayar RM10 juta sebagaimana dituntut sebaliknya RM100,000 sahaja, merupakan tamparan hebat kepada parti itu.

Zuraida, 66, selaku perayu berkata, keputusan ini telah menunjukkan PRK telah membuat pertalian yang sangat tidak adil kepada anggota partinya.

Sedangkan beliau berkata, pelbagai keringat dicurahkan selama 25 tahun berkhidmat kepada parti.

“Saya naikkan nama parti, tambah keahliannya dan memenangkan kerusi atas kekuatan serta kebolehan sendiri, jadi saya tidak bergantung kepada PKR, sebaliknya mereka yang bergantung kepada saya.

“RM10 juta itu memang tidak munasabah maka apabila mahkamah perintahkan supaya membayar RM100,000, saya nak bayar seringgit-seringgit,” katanya berseloroh, ketika sidang akhbar selepas prosiding selesai.

Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan, nilai ganti rugi berkenaan sebagai derma kepada parti itu.

Katanya, jika diikutkan perasaan, beliau enggan membayar saman terbabit walau RM1, kerana memikirkan parti itu bertindak secara tidak saksama kepada ahli.

Beliau berkata, ini juga menjadi pengajaran kepada parti-parti lain yang hendak mengikat ahli anggota, untuk mendapatkan kesetiaan.

Artikel Berkaitan:

“Kesetiaan bukan kepada parti tetapi ada pada perjuangan, namun sekiranya perjuangan tidak betul, tak kan kita mahu kekal di situ lagi,” katanya.

Pada Rabu, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Datuk See Mee Chun memutuskan, Zuraida hanya perlu membayar RM100,000 berbanding RM10 juta, berhubung perlanggaran syarat bon parti itu.

Ketika membaca keputusan sebulat suara berkenaan, Mee Chun yang bersidang bersama Hakim-hakim, Datuk Azman Abdullah dan Datuk Ahmad Kamal Md Shahid berkata, jumlah RM10 juta yang ditetapkan sebelum ini, adalah tidak munasabah.

Pada 23 Jun 2023, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Akhtar Tahir memerintahkan bekas Ahli Parlimen Ampang itu membayar RM10 juta selepas memutuskan bahawa bon tersebut merupakan kontrak yang sah dan mengikat.

Pada 2020, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, bagi pihak parti yang memulakan saman, dengan mendakwa Zuraida melanggar syarat bon yang telah ditandatanganinya.

Zuraida dalam pembelaannya mendakwa beliau dipaksa menandatangani bon dengan parti itu untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!