Sistem perparitan tiada aliran keluar air punca banjir kilat - KPKT
KUALA LUMPUR - Tiada aliran keluar air dan tanah milik persendirian menyebabkan sistem perparitan tidak dapat dibina secara menyeluruh di tujuh lokasi panas banjir kilat di Temerloh.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT), Nga Kor Ming berkata, Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) telah mengenal pasti tujuh lokasi panas banjir kilat di Parlimen Temerloh sehingga September tahun ini.
Menurutnya, lokasi terbabit di Kampung Paya Dalam; Kampung Batu 1(kawasan Taman Muhibbah dan Jalan Bahgia 34); Taman Mentakab Indah; Taman Pulau Indah; Taman Sri Kerinau dan Taman Pamah Kasih.
"Berdasarkan maklum balas Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), kejadian banjir kilat yang sering berlaku di kawasan tersebut didapati berpunca daripada kedudukan kawasan itu rendah dan berpaya menyebabkan air bertakung bagi tempoh yang lama.
"Selain itu, sistem perparitan di sesetengah kawasan yang tidak mempunyai outlet (saluran keluar) untuk aliran keluar air turut boleh menyebabkan banjir kilat.
"Disebabkan status pemilikan, tanah di kawasan tersebut adalah milik persendirian terutama di kawasan kampung, aliran tidak dapat dibina secara menyeluruh.
"Kementerian juga mendapati pembangunan secara pocket development masih berlaku di kawasan-kawasan tersebut yang menyebabkan sistem perparitan atau jajaran parit tidak bersambungan secara konsisten," katanya dalam jawapan bertulis bagi pertanyaan lisan Dewan Rakyat yang disiarkan di laman web Parlimen pada Selasa.
Beliau menjawab pertanyaan Salamiah Mohd Nor(PN-Temerloh) mengenai senarai lokasi panas banjir kilat dalam rekod kementerian di sekitar kawasan Parlimen Temerloh serta punca-puncanya.
"Dalam menangani hal ini, kementerian melalui JKT telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2.15 juta kepada MPT bagi menyiapkan 30 projek pada 2023 dan RM500,000 bagi pelaksanaan satu projek tahun ini yang kesemuanya adalah untuk mengatasi masalah banjir kilat.
"Ia melibatkan kerja-kerja menaik taraf sistem perparitan dan kolam takungan di kawasan pentadbiran MPT," jelasnya.
Dalam pada itu, Kor Ming memberitahu, pihak berkuasa tempatan (PBT) boleh mengemukakan permohonan yang diperlukan kepada KPKT untuk pertimbangan sewajarnya untuk menangani isu banjir kilat.
"Sebagaimana pengumuman oleh Perdana Menteri untuk Belanjawan Tahun 2025, sebanyak RM200 juta akan diperuntukkan bagi kerja-kerja pembersihan dan menaik taraf longkang, parit dan sungai di kawasan PBT.
"Sehubungan itu, PBT boleh mengemukakan permohonan yang diperlukan kepada KPKT untuk pertimbangan sewajarnya.
"Keutamaan pertimbangan dan pengagihan peruntukan adalah tertakluk kepada kawasan yang telah dikenal pasti sebagai lokasi panas banjir, cadangan skop kerja dan tempoh masa pelaksanaan projek yang relevan dan realistik serta PBT mempunyai rekod kemajuan dan prestasi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan parit dan longkang yang menyakinkan," katanya.
Beliau menjawab sedemikian susulan pertanyaan Salamiah (PN-Temerloh) mengenai kesediaan kementerian menyalurkan peruntukan tambahan yang secukupnya kepada kerajaan negeri dan kerajaan tempatan untuk menangani isu banjir kilat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!