Pengurus akuarium dikompaun RM500 miliki 20 ikan Flower Horn
SHAH ALAM - Seorang pengurus wanita yang mengendalikan kedai akuarium, dikompaun RM500 kerana memiliki 20 ikan Flower Horn atau 'genus cichlasoma' tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF).
Wanita berusia 29 tahun ini dikenakan kompaun tersebut, mengikut Subperaturan 2(1) Peraturan-Peraturan Perikanan iaitu larangan import bagi ikan (pindaan 2024) di Taman OUG, di sini, pada 13 Ogos lalu.
Pasukan penguatkuasa DOF Selangor membuat serbuan di premis tersebut pada hari kejadian, susulan aduan daripada orang awam.
Menerusi satu kenyataan media, DOF berkata, premis tersebut didapati menjual dan mempamerkan ikan larangan tanpa kebenaran.
Katanya, pengurus premis kemudiannya mengaku memiliki ikan-ikan tersebut.
Sementara itu, Pengarah DOF Selangor, Noraisyah Abu Bakar berharap, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan pemilikan atau penjualan ikan larangan, supaya membuat laporan kepada pejabat DOF Selangor atau di daerah terdekat.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap individu atau syarikat yang melanggar peraturan ini.
“Ketidakpatuhan terhadap peraturan berkenaan tidak boleh dipandang ringan kerana ia disenaraikan sebagai haiwan yang boleh mengganggu keseimbangan ekosistem akuatik dan mendominasi perairan sungai di negeri ini.
"Oleh itu, DOF Negeri akan mempergiat usaha penguatkuasaan untuk melindungi bio-diversiti perairan kita,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa, undang-undang ini terpakai kepada semua pihak, tanpa mengira status individu atau syarikat.
Katanya, pemilikan ikan larangan tanpa kelulusan yang sah akan dikenakan tindakan undang-undang yang sewajarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!