Sanusi lega bebas kes hasut Sultan Selangor

Sanusi yang memakai baju kemeja berwarna putih, hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa, bagi prosiding dua kes menghasut Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, Julai tahun lalu.
Sanusi yang memakai baju kemeja berwarna putih, hadir ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Selasa, bagi prosiding dua kes menghasut Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, Julai tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – “Lega, ada kelegaan sedikit,” kata Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membebaskannya daripada satu kes menghasut dan menyentuh Sultan Selangor, Julai tahun lalu.

Ketika sidang akhbar, Sanusi, 50, turut memanjatkan kesyukuran di atas keputusan terbabit.

Bagaimanapun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ini berkata, pihaknya menunggu perkembangan bagi pertuduhan kedua, iaitu kes menghasut Sultan Pahang yang ketika itu selaku Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, pasukan pembelaan akan berbincang sama ada mahu menghantar representasi ketiga atau sebaliknya.

Sementara itu, peguamnya, Awang Armadajaya Awang Mahmud berkata, pihak pendakwaan telah menarik balik pertuduhan yang berkaitan dengan Sultan Selangor dan pihak pendakwaan meminta supaya dilepaskan tanpa dibebaskan.

Bagaimanapun, beliau berkata, pembelaan mengemukakan hujahan agar pemimpin Kedah ini dilepaskan dan dibebaskan (DNA).

“Alhamdulillah, Hakim bersetuju dengan permohonan kami, supaya anak guam dibebaskan sepenuhnya daripada pertuduhan pertama.

“Selepas ini, tiada sebarang prosiding berkaitan pertuduhan itu dan pihak pembelaan menjunjung kasih kepada Sultan Selangor di atas perkenan pengampunan terhadap anak guam.

Artikel Berkaitan:

“Masa depan, ALLAH sahaja yang tahu, kita akan lihat keadaannya kelak,” katanya, selepas ditanya sama ada pihak pendakwaan mahu menghantar representasi ketiga kepada Sultan Pahang, dalam masa terdekat.

Dalam pada itu, pemimpin Pas iaitu Timbalan Presiden, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Naib Presiden, Datuk Idris Ahmad dan Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim turut hadir bagi mengikuti prosiding terbabit.

Pada Selasa, Sanusi diberi perintah DNA oleh Mahkamah Tinggi di sini, berhubung satu kes menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik, Julai tahun lalu.

Bagaimanapun, pemimpin Pas ini masih berdepan satu lagi kes menghasut Sultan Pahang yang ketika itu selaku Yang di-Pertuan Agong.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan satu kes hasutan terhadap Sultan Selangor dihadapi Sanusi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!