Rakyat Syria di Malaysia rai kejatuhan pemerintahan diktator
SHAH ALAM - Rakyat Syria di Malaysia meraikan kebebasan negara itu daripada cengkaman pemerintahan diktator Parti Baath di bawah legasi Assad selama lebih lima dekad.
Tular di aplikasi X, sebuah video yang memaparkan rakyat Syria berhimpun beramai-ramai di hadapan kedutaan Syria di Kuala Lumpur.
Menerusi video tersebut kelihatan rakyat Syria berkongsi makanan antara mereka.
Dalam masa sama, terdapat kelompok rakyat Syria sedang menunaikan solat sebagai tanda kesyukuran kebebasan negara mereka.
Sebelum ini, rakyat Syria di seluruh negara meruntuhkan dan memijak patung bapa Presiden Bashar al-Assad yang mengasaskan pemerintahan kejam yang diwarisi anaknya.
Di ibu negara, orang ramai bersorak ketika mereka berdiri di belakang patung bekas Presiden Hafez al-Assad, dalam peristiwa simbolik menandakan kejatuhan pemerintahan kuku besi.
Peristiwa bersejarah itu berlaku selepas kumpulan pejuang mengisytiharkan Bashar al-Assad telah melarikan diri dari negara itu berikutan serangan pantas yang menyaksikan beberapa bandar utama dirampas termasuk ibu negara Damsyik.
Bashar memerintah Syria sejak tahun 2000 selepas beliau mewarisi kuasa daripada bapanya.
Sejak 2011, beliau menyelia tindakan keras terhadap gerakan demokrasi yang bermula dengan protes aman.
Penindasan kerajaan Bashar terhadap protes berubah menjadi salah satu konflik paling berdarah abad ini, yang menyaksikan ratusan ribu penduduk dibunuh dan jutaan orang kehilangan tempat tinggal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!