RMHC Malaysia rai sambutan jubli perak Rumah Ronald McDonald pertama

Fasiliti yang disediakan oleh pihak RMH telah dimanfaatkan oleh keluarga daripada berpendapatan rendah.
Fasiliti yang disediakan oleh pihak RMH telah dimanfaatkan oleh keluarga daripada berpendapatan rendah.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) meraikan Ulang Tahun ke-25 Rumah Ronald McDonald (RMH) di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM (HCTM-UKM).

Presidennya, Datuk Azmir Jaafar berkata, RMH HCTM-UKM yang dibangunkan pada 1999 merupakan rumah kebajikan pertama di Malaysia dan ASEAN.

Menurutnya, rumah tersebut menyediakan 19 bilik keluarga berserta pelbagai fasiliti penginapan seperti ruang tamu, dobi, dapur, ruang makan, surau dan bilik permainan kanak-kanak.

“Setelah 25 tahun beroperasi di Malaysia, RMH HTCM UKM telah dimanfaatkan oleh lebih daripada 5,000 keluarga dengan anggaran 200 keluarga yang berpendapatan rendah atau miskin setiap tahun.

“Kami harap RMHC Malaysia dapat terus membantu ibu bapa untuk tumpukan sokongan kepada anak-anak mereka yang dalam rawatan tanpa perlu risaukan tentang kewangan dan keselesaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Turut hadir, Timbalan Pengarah (Pentadbiran), Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Mursidi Ahamad; Persatuan Kebajikan Ronald Mcdonald Malaysia, Nasri Nordin; Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Profesor Emiritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak dan Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Datuk Dr Azmi Baharudin.

Dari kiri: Mursidi, Nasri, Mohamad dan Azmi.
Dari kiri: Mursidi, Nasri, Mohamad dan Azmi.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, menurut Azmir, selama lebih dua dekad RMH HCTM-UKM telah memberikan khidmat sokongan kepada keluarga yang memerlukan.

Tambah beliau, penubuhan rumah kebajikan tersebut bertujuan memberi perlindungan dan kemudahan penginapan kepada ibu bapa serta penjaga untuk sentiasa berada di sisi anak-anak mereka yang sedang menjalani rawatan di hospital.

Beliau berkata, dengan berkonsepkan ‘home away from home’, kemudahan yang disediakan adalah bagi meringankan beban keluarga selain mendapatkan penempatan selesa dalam kawasan hospital tanpa pembiayaan besar.

“Keperluan untuk kemudahan penginapan seperti RMH adalah tinggi terutamanya di hospital-hospital rujukan.

“Sehingga kini, RMHC telah memperluaskan rangkaian RMH di tiga lokasi lain di Malaysia antaranya ialah Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, Kelantan, yang dibangunkan pada 2019; Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur, yang dibangunkan pada 2021; dan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah yang dibangunkan pada 2023.

“RMH yang kelima bakal dibuka berhampiran Hospital di Kuching, Sarawak menjelang 2026 dan pembukaan ini adalah berdasarkan permintaan yang tinggi, selain dapat menyediakan akses kepada keluarga yang memerlukan di sana,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!