Bekas peguam syariah genggam PhD pada usia 74 tahun
SHAH ALAM - Bekas peguam syariah, Datin Saidatul Badru Mohd Said Keruak berjaya menggenggam segulung Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sejarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada usia 74 tahun.
Menurutnya, meskipun pernah ditawarkan pengajian oleh universiti di Semenanjung sebelum ini, namun lebih memilih untuk melanjutkan pelajaran di UMS kerana ingin kembali semula ke tempat kelahiran asalnya.
Ujar ibu kepada tiga anak dan tiga cucu itu, beliau mengambil peluang untuk melanjutkan pelajaran selepas anaknya tamat pengajian dan mempunyai kerjaya dalam bidang masing-masing.
“Semasa memperoleh Ijazah Sarjana dari Universiti Malaya (UM), saya sudah berusia 40 tahun dan mempunyai cucu.
“Kemudian, saya menyambung semula pengajian ke peringkat Sarjana pada usia 55 tahun.
“Pada ketika itu, saya juga bermula sebagai setiausaha di Pejabat Ketua Menteri Sabah di bawah pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun pada tahun 1970,” katanya yang berasal dari Kota Belud, Sabah dalam kenyataan pada Sabtu.
Graduan warga emas itu menerima skrol pengiktirafan yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin pada Majlis Konvokesyen UMS ke-26 dan turut menyaksikan seramai 359 graduan telah menerima ijazah masing-masing terdiri daripada doktor falsafah, doktor perubatan serta sarjana penyelidikan di Dewan Canselor, UMS.
Saidatul Badru yang juga bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, kejayaannya diharap dapat menjadi motivasi kepada golongan belia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang yang lebih tinggi.
"Jangan terlalu fokus kepada umur, apa yang penting adalah kemahuan dan semangat kerana proses dan perjalanan menuntut ilmu ini bukan mudah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!