Ahmad Zahid arah guna cip pasport DTSB: Saksi

Ahmad Zahid (dua, kiri) ketika hadir pada perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto Bernama
Ahmad Zahid (dua, kiri) ketika hadir pada perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerima satu surat mengandungi minit dicatat bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mengarahkan cip pasport milik syarikat Datasonic Technologies Sdn Bhd (DTSB) yang merupakan syarikat milik rakannya ketika itu digunakan dalam pembekalan pasport Malaysia.

Perkara itu didedahkan bekas Setiausaha Bahagian (SUB) Perolehan KDN, Datuk Abd Aziz Md Nor, 62, yang turut mengecamkan surat tersebut bertajuk ‘Permohonan untuk memulakan bekalan cip pasport bersama in-lay kepada Percetakan Keselamatan Nasional Sdn Bhd (PKN) semasa tempoh peralihan kontrak sedia ada selama enam bulan dari 1 Jun hingga 30 November 2016 untuk pasport Malaysia Antarabangsa.’

Ketika diminta Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun untuk membacakan minit tersebut pada pemeriksaan utama, saksi membacakan: “ Dato’ Sri KSU (Ketua Setiausaha), sila teliti semula keputusan terdahulu. Gunakan cip syarikat ini sebelum lanjutan kontrak dengan PKN diteliti.”

Saksi ke-33 pihak pendakwaan itu berkata demikian pada hari ke-16 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan membabitkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Gan: Apa pemahaman Datuk tentang minit tersebut?

Abd Aziz: Ini bermaksud kontrak dengan PKN tidak dilanjutkan sebaliknya dirunding dengan syarikat ini (DTSB).

Ketika ditanya Peng Kun mengapa beliau mengeluarkan arahan untuk menyegerakan Surat Setuju Terima (STT) kepada DTSB, saksi menjawab ia perlu disegerakan kerana keperluan cip pasport telah sampai ke tahap mendesak.

Disoal balas peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad Zahid sama ada saksi tahu Jabatan Imigresen Malaysia mengalami masalah kekurangan pasport pada 2015 dan Ahmad Zahid meminta percepatkan pembekalan cip, Abd Aziz menjawab "ada, saya rasa".

Artikel Berkaitan:

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi semasa pemeriksaan semula adakah menjadi kebiasaan menteri memberi arahan untuk menyegerakan sesuatu perkara, Abd Aziz menjawab "ada, tapi tak selalu".

Ahmad Sazilee kemudian berseloroh dengan berkata: "Kadang-kadang macam cerita P Ramlee".

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu. - Bernama