Wi-fi percuma di PPS alami masalah Internet

Nie Ching (empat dari kanan) bersama Yu Hui (tiga dari kanan) dan Fadzli (lima dari kanan) ketika meninjau tapak menara telekomunikasi di Kampung Tanjung Putus pada Jumaat.
Nie Ching (empat dari kanan) bersama Yu Hui (tiga dari kanan) dan Fadzli (lima dari kanan) ketika meninjau tapak menara telekomunikasi di Kampung Tanjung Putus pada Jumaat.
A
A
A

RAUB - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil inisiatif dengan menyediakan Wi-fi percuma untuk kawasan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menghadapi masalah liputan Internet.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, setakat ini MCMC telah sediakan Wi-fi percuma di 23 lokasi terjejas banjir iaitu 18 di Kelantan dan selebihnya di Terengganu.

Menurutnya, Pahang tidak terlibat kerana liputan internet dalam keadaan baik.

"Tetapi sebenarnya untuk PPS kalau memang ada masalah internet jadi MCMC juga akan turun untuk pasang Wi-fi percuma supaya perkhidmatan komunikasi itu tidak terjejas," katanya.

Nie Ching (empat dari kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Pintu Padang pada Jumaat.
Nie Ching (empat dari kanan) menyerahkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Pintu Padang pada Jumaat.

Beliau berkata sedemikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak menara telekomunikasi di Kampung Tanjung Putus di sini pada Jumaat.

Sebelum itu, Nie Ching melawat dan menyerahkan bantuan kepada 45 mangsa banjir di Kampung Pintu Padang.

Hadir sama, Ahli Parlimen Raub, YB Chow Yu Hui dan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan negeri, Fadzli Mohamad Kamal.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, penyedia perkhidmatan juga telah diminta melakukan pemerkasaan tapak iaitu menaikkan platform di kawasan tapak yang dikenal pasti lokasi panas banjir.

Sementara itu, Nie Ching juga memberitahu, sebanyak 3 juta khidmat pesanan ringkas (SMS) telah dihantar sejak Oktober lalu hingga Jumaat.

"Jadi perkhidmatan ini akan diteruskan sepanjang musim banjir ini kerana Agensi Pengurusan Bencana Negara telah bagi amaran.

"Sekarang kita menghadapi gelombang pertama dan kita nampak bahawa banyak mangsa pun sudah kembali ke rumah mereka tetapi kita perlu berhati-hati kerana ada kemungkinan bahawa gelombang kedua atau seterusnya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!