Lelaki ditahan tebang balak di Hutan Simpan Rimba Teloi

Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai melakukan aktiviti pembalakan haram melibatkan kerugian RM100,000 di kompartmen 50 Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik.
Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai melakukan aktiviti pembalakan haram melibatkan kerugian RM100,000 di kompartmen 50 Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik.
A
A
A

ALOR SETAR - Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menahan seorang lelaki yang melakukan aktiviti pembalakan haram di kompartmen 50 Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik di sini semalam.

Pengarah JPNK, Roslan Rani berkata, pihaknya menahan lelaki tempatan berusia 26 tahun itu pada jam 4.45 petang hasil risikan dan maklumat orang awam.

Katanya, pada awalnya, pasukan Penguatkuasa Jabatan Perhutanan Negeri menemui longgokan kayu di kawasan tanah milik persendirian sebelum semakan lanjut di kawasan sekitar mendapati satu laluan masuk baharu ke kawasan hutan simpan kekal berkenaan.

"Kemudiannya, JPNK menemui 10 tunggul dan empat batang balak yang belum sempat dibawa keluar dari hutan terbabit selain sebuah jengkaut jenis Hitachi dan lori jenis Mitsubishi.

"Susulan penemuan itu, JPNK menyita sebuah excavator jenis Hitachi, sebuah lori jenis Mitsubishi dan 48 tual kayu balak yang disyaki digunakan bagi aktiviti pembalakan haram yang dikesan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara jentera disita yang disyaki digunakan dalam aktiviti pembalakan haram di kompartmen 50, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik.
Antara jentera disita yang disyaki digunakan dalam aktiviti pembalakan haram di kompartmen 50, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik.

Menurutnya, JPNK menjangkakan kawasan itu baru dijalankan pembalakan haram iaitu dalam tempoh sehari atau dua hari dengan anggaran nilai kerugian kawasan hutan ditebang RM100,000.

Katanya, seorang lelaki ditahan selepas datang mengaku bahawa kesemua jentera miliknya ketika penggeledahan dan operasi sita dilakukan di kawasan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan mendapati modus operandi suspek adalah menjadikan tanah milik perseorangan berhampiran hutan simpan kekal sebagai tempat mengumpul kayu-kayu balak bagi mengaburi mata penguat kuasa.

"Suspek dipercayai tidak melakukan kegiatan itu secara bersendirian, sebaliknya turut mengupah pekerja untuk menebang sebelum mengangkut balak untuk dijual," katanya.

Beliau berkata, JPNK komited dan memandang serius terhadap aktiviti kesalahan hutan dan penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan salah laku berkaitan perhutanan dapat dibendung.

Katanya, pihaknya amat berterima kasih kepada orang awam yang memberi maklumat dan mengalu-alukan kerjasama mana-mana pihak bagi menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti kesalahan hutan.