Simpan 27.2kg syabu dalam lori buruk
JOHOR BAHRU – Taktik sindiket menjadikan lori buruk sebagai tempat penyimpanan dadah akhirnya terbongkar hasil serbuan yang dilakukan oleh pasukan tindakan khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di Johor Jaya di sini pada 25 November lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd Sohaimi Ishak, serbuan pada jam 4 petang itu menahan seorang lelaki warga tempatan yang merupakan penjaga stor berusia 32 tahun.
“Pihak polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 27,258 gram dengan anggaran bernilai RM872,256 yang disimpan sebelum diseludup ke negara jiran.
"Dalam serbuan berkenaan juga, sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk menyimpan dadah turut dirampas.
"Hasil saringan awal mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai 15 rekod jenayah dan lapan rekod jenayah narkotik," katanya.
Tambah Sohaimi, modus operandi sindiket ialah menggunakan lori sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran.
"Kegiatan tersebut sudah dilakukan sejak awal Oktober lalu dan pihaknya masih melakukan siasatan lanjut bagi mengesan ahli-ahli sindiket kumpulan berkenaan.
“Dianggarkan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh seramai 54,516 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya.
Beliau berkata, suspek direman selama 14 hari mulai 26 November lalu untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup yang mana boleh juga dikenakan sebatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!