X

Kindly register in order to view this article
!

Negara terkesan Covid-19 sedia laksana pakej pelan rangsangan ekonomi

Negara yang terkesan dengan penularan Covid-19 bersiap sedia dengan pelan pakej rangsangan ekonomi domestik bagi membantu menangani suasana ekonomi mencabar sepanjang 2020. - Foto AFP. Gambar kecil: Shazali Abu Mansor
A
A

SHAH ALAM - Semua negara yang terkesan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) kini sudah bersiap sedia menyediakan pelan pakej rangsangan ekonomi domestik bagi membantu menangani suasana ekonomi mencabar sepanjang tahun 2020.

Profesor Kanan Ekonomi Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, perancangan tersebut adalah secara ‘ad hoc’ dan tidak digembar-gemburkan.

Menurutnya, rata-rata negara yang mempunyai hubungan ekonomi dan banyak bergantung dengan China seperti Singapura bersedia melaksanakannya bila-bila masa.

"Negara-negara berkenaan sudah standby dan tidak panggil pakej pun sebenarnya. Mereka menambah tanpa diuar-uarkan.

“Contohnya dalam sesebuah negara ada kategori bajetnya. Pelaksanaan pelan ini tidak diumumkan dan ditetapkan peruntukannya berapa. Dan sudah tentu negara-negara berkenaan tidak mengatakan pakej rangsangan kerana Covid-19," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Shazali berkata, Malaysia antara negara yang banyak bergantung kepada negara China terutamanya dalam industri pelancongan.

Walau bagaimanapun katanya, kerajaan bukan hanya perlu menumpukan pada sektor pelancongan sahaja dalam pelan pakej rangsangan ekonomi domestik sebaliknya kepada semua sektor perniagaan terutama yang boleh memberikan banyak impak berganda dalam ekonomi.

“Kalau kita berikan RM1 bilion kepada sebuah syarikat besar lambat syarikat itu akan belanja dan tidak ramai yang merasai.

“Jadi kita agihkan kepada syarikat kecil tetapi secara menyeluruh supaya impaknya cepat dan kesan penggandaan yang tinggi dalam ekonomi,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia perlu tangani ekonomi mencabar sepanjang 2020

Beliau berkata, adalah penting juga kita meminimumkan ketirisan dalam rangsangan yang akan diberikan seperti kitaran rangsangan itu berada dalam ekonomi domestik bukannya menguntungkan pekerja atau syarikat asing.

Kelmarin, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam Malaysia, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pelaksanaan pelan itu sangat penting memandangkan pelbagai faktor luaran seperti perang perdagangan ekonomi Amerika Syarikat-China, isu Brexit dan terkini isu penularan wabak Covid-19 menyumbang kepada penguncupan serius ekonomi negara sekiranya tidak ditangani secepat mungkin.

Katanya, kerajaan perlu bertindak proaktif melaksanakan pelan pakej rangsangan ekonomi domestik yang inklusif dengan segera untuk membantu menangani suasana ekonomi mencabar sepanjang tahun 2020.

Beliau berkata, kerajaan perlu mengawal pertumbuhan ekonomi domestik bagi menangani senario ekonomi dunia mencabar dengan perincian pakej rangsangan ekonomi perlu ditumpukan kepada beberapa segmen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus