X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Jangan bersikap terburu-buru suntik dana tambahan

Barjoyai
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan tidak perlu bersikap terburu-buru menyuntik dana tambahan bagi melaksanakan pakej rangsangan ekonomi walaupun penularan wabak koronavirus (Covid-19) memberi kesan langsung kepada kelembapan ekonomi dunia dan pertumbuhan ekonomi negara.

Pakar Ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai berkata, kerajaan perlu terlebih dahulu bersikap tunggu dan lihat bagi mendapatkan gambaran lebih mantap mengenai kedudukan tersebut.

Beliau turut berpandangan, program pemulihan ekonomi seperti penyediaan pakej rangsangan dalam masa terdekat adalah satu program kurang proaktif yang akan memberi impak lemah kepada pertumbuhan ekonomi negara.“Secara umum, wabak Covid-19 dijadikan alasan ekonomi dunia untuk mempercepatkan kegawatan ekonomi berlaku di seluruh dunia memandangkan kitaran kegawatan itu sudah dianggap terlajak daripada tempoh sepatutnya.

“Saya menganggarkan tempoh kegawatan ekonomi negara akan berlaku pada suku kedua dan suku ketiga tahun ini dengan dalam suku keempat, ekonomi negara dijangka kembali pulih.

“Bagi saya, kerajaan perlu merancang apa boleh dilakukan untuk merangsang ekonomi negara hanya selepas tempoh kegawatan ekonomi berlaku, bukan sekarang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata demikian keketika mengulas cadangan Malaysia memerlukan suntikan pakej rangsangan bernilai antara RM19 bilion hingga RM21 bilion bagi meningkatkan ekonomi Malaysia susulan cabaran dihadapi akibat penularan wabak Covid-19.

Muka hadapan Sinar Harian kelmarin.
Muka hadapan Sinar Harian kelmarin.

Cadangan itu dikemukakan Timbalan Pengerusi 2 Lajnah Ekonomi, Hartanah dan Pembangunan Usahawan Pas Pusat, Mazli Noor berdasarkan analisis dibuat pihaknya.

Pada 2003, kerajaan melaksanakan pakej ekonomi bernilai RM8.1 bilion untuk membantu mengurangkan kesan berikutan wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) manakala pada 2009 pakej rangsangan RM60 bilion diumumkan bagi mengharungi kelembapan ekonomi global.

ARTIKEL BERKAITAN: KDNK 2019 terendah sejak 2009 kerana gangguan komoditi

Sementara itu, Bardoyai berkata, pihaknya mengambil contoh pakej rangsangan ekonomi dilaksanakan kerajaan pada 1998 dan 2008 yang menelan dana suntikan keseluruhan RM80 bilion.

Menurutnya, langkah itu sebenarnya tidak banyak mengubah keadaan ekonomi ketika itu, sebaliknya hanya memberi faedah keuntungan tambahan kepada industri disasarkan.

“Keadaan ekonomi tidak boleh dirangsang begitu sahaja kerana ada banyak faktor latar belakang dan persekitaran perlu diambil kira untuk membantu ekonomi negara mengembang.“Lebih baik kerajaan fikirkan beberapa program jangka panjang untuk menangani isu ekonomi,” katanya.