Saksi menangis ketika beri keterangan pada perbicaraan Ahmad Zahid

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemilik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd (SKSB) Datuk Abu Hanifah Noordin gagal mengawal emosi dan menangis semasa memberi keterangan berhubung pemberian kontrak projek pembekalan cip pasport kepada syarikatnya dalam perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid sebelum itu bertanyakan Abu Hanifah, 69, saksi pendakwaan ke-32, mengenai kelebihan SKSB berbanding syarikat lain sehingga membolehkan kerajaan menawarkan kontrak tersebut.

Saksi itu, juga Pengarah Datasonic Teknologi Sdn Bhd (DTSB) berkata, syarikatnya adalah antara yang terbaik dan menawarkan harga berpatutan dalam membekalkan cip pasport meskipun terdapat beberapa syarikat lain yang boleh membekalkan barangan sama.

"Kami (DTSB) berbangga dengan apa yang kami lakukan dengan menawarkan harga termurah dan khidmat terbaik, meskipun apa yang diucapkan oleh pegawai kerajaan (dalam perbicaraan semalam) adalah khabar angin dilemparkan kepada kami.

“Kami rasa kecewa kerana Menteri Dalam Negeri (Ahmad Zahid) ketika itu terpancing oleh berita tak elok ini, sebab itu kami jemput dia untuk lihat kualiti kami. Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan pegawainya sangat defensif terhadap kontraktor-kontraktor yang lama,” katanya sambil mengesat air mata yang mengalir dengan sapu tangan.

Beliau berkata demikian pada hari ke-15 perbicaraan kes Ahmad Zahid yang berdepan 47 pertuduhan melibatkan dana Yayasan Akalbudi berjumlah jutaan ringgit dan rasuah berhubung pemberian kontrak pembekalan cip pasport kepada beberapa syarikat.

Ahmad Zaidi menyoal Abu Hanifah sama ada beliau perlu berehat sebentar sebelum meneruskan keterangan dan Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian menangguhkan prosiding selama 10 minit untuk memberi ruang kepada saksi itu menenangkan diri.

SKSB milik Abu Hanifah dan isterinya Datin Ropi Riandani Dody Muchtar, yang menjalankan perniagaan pelaburan, merupakan syarikat induk Datasonic Group Berhad dan (DGB) dan DTSB.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, ketika membacakan penyataan saksi, Abu Hanifah memberitahu mahkamah bahawa SKSB memberi sumbangan politik berjumlah RM6 juta kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dengan pembayaran dibuat kepada Lewis & Co yang merupakan pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid.

Abu Hanifah, yang merupakan kenalan politik Ahmad Zahid berkata, pembayaran itu dibuat menerusi dua cek Maybank masing-masing sebanyak RM1 juta dan RM5 juta yang ditandatanganinya pada 25 April 2017 setelah Penasihat Korporat SKSB, Chew Ben Ben, meminta beliau berbuat demikian.

"Ben Ben telah meminta saya untuk mengosongkan bahagian penama. Saya memang tidak tahu kenapa pembayaran dibuat kepada Lewis & Co dan saya berpendapat pembayaran tersebut adalah bagi urusan perniagaan dan pelaburan.

"Saya ada membuat semakan kembali dengan Ben Ben dan dia ada memaklumkan kepada saya bahawa cek-cek pembayaran kepada Lewis & Co adalah sebagai sumbangan politik," katanya ketika membacakan penyataan saksi ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Gan Peng Kun.

Abu Hanifah berkata beliau tidak membuat bayaran ke akaun UMNO, BN atau Ahmad Zahid kerana tidak tahu cek yang mana satu akan dibayar ke akaun UMNO dan BN.

"Ben Ben memaklumkan kepada saya bahawa sumbangan kepada UMNO dan BN itu kerana KDN telah membantu menyenaraikan anak syarikat SKSB, iaitu DGB, melalui program Skim Jejak Jaya ke Bursa (SJJB) yang dikelolakan oleh Kementerian Kewangan. Sebab itulah saya telah memberikan sumbangan itu,” katanya.

Ahmad Zahid, 67, berdepan 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama