Kesan berpanjangan wabak Covid-19

No Image Caption
A
A
A

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengumumkan nama rasmi iaitu Covid-19 bagi menggantikan nama novel koronavirus 2019.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam siaran video di laman Twitter WHO menjelaskan bahawa co bermaksud ‘korona’, vi (virus) dan d (penyakit), dalam taklimat media harian mengenai virus itu di Geneva, Switzerland pada Selasa lalu.

Katanya, pemilihan nama tersebut berdasarkan kepada garis panduan yang dipersetujui antara WHO, Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) dan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) bahawa nama rasmi virus hendaklah tidak merujuk kepada lokasi geografi tertentu, haiwan, individu atau mana-mana kumpulan manusia dan berkaitan dengan penyakit berkenaan.

Menurut beliau, dengan adanya nama rasmi ia dapat mengelakkan penggunaan nama lain yang tidak tepat dan membolehkan satu format standard digunakan bagi sebarang wabak koronavirus pada masa depan.

Umum mengetahui Covid-19 telah menyebabkan keadaan panik kerana angka kematian mencecah 1,100 orang dan sudah melepasi kematian akibat Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) iaitu sebanyak 800 mangsa pada November 2002.

Covid-19 juga sudah merebak ke seluruh China dan 25 negara lain di dunia kerana penularannya enam kali lebih cepat berbanding SARS.

Ancaman virus tersebut juga memberi kesan besar kepada ekonomi dunia antaranya memaksa penutupan operasi pengeluaran kereta global seperti Volkswagen, Toyota, Daimler dan banyak lagi.

Malah syarikat gergasi seperti Google dan Amazon menutup pejabat buat sementara waktu dan beberapa restoran terkenal termasuk Starbucks menutup separuh daripada rangkaian mereka di China.

Artikel Berkaitan:

Di Malaysia kita dapat melihat orang ramai mengehadkan perjalanan di peringkat antarabangsa dan domestik hingga menjejaskan industri pelancongan.

Oleh itu, walaupun dengan nama baharu, kesan tetap sama jika masih berpanjangan dengan angka kematian yang meningkat.