X

Kindly register in order to view this article
!

Empat keluarga hilang tempat tinggal

Keadaan api marak memusnahkan empat rumah dalam kebakaran di Kampung Kepayang petang tadi.
A
A

IPOH - Seramai 16 mangsa membabitkan empat keluarga hilang tempat tinggal apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Kepayang di sini hari ini.

Kebakaran yang berlaku sekitar jam 4.15 petang itu memusnahkan empat rumah, sebuah kereta jenis Proton Waja dan sebuah motosikal.

Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan berlaku kerana ketika kejadian semua penghuni tiada di rumah.

Seorang mangsa, Herdawati Rosdi, 38, berkata, kebetulan ketika kejadian, dia membawa tiga anaknya masing-masing berusia 7, 8, 11 tahun ke rumah ibunya di Taman Klebang Jaya.

"Suami dan adik ipar pula masih di tempat kerja, bila kawan telefon maklumkan kejadian saya terus balik lihat keadaan rumah.

"Tetapi ketika itu api sudah marak, tiada apa boleh diselamatkan, kereta adik ipar juga musnah terbakar," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dia berkata, rumah itu didiami sejak setahun lalu dengan kadar sewa RM200 sebulan.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kepayang, Amer Muhammad Reduan berkata, semua mangsa akan ditempatkan sementara di dewan orang ramai dan masjid.

Katanya, pihaknya juga akan menyediakan keperluan pakaian dan makanan kepada semua mangsa sehingga mereka mendapat tempat yang lebih selesa.

Operasi pemadaman yang dijalankan anggota dalam kebakaran melibatkan empat rumah di Kampung Kepayang petang tadi.
Operasi pemadaman yang dijalankan anggota dalam kebakaran melibatkan empat rumah di Kampung Kepayang petang tadi.

"Kebanyakan mangsa menyewa di rumah ini dan kita dimaklumkan ada antaranya memang tidak mempunyai tempat tinggal lain," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Mohd Khairul Jamil berkata, panggilan kejadian itu diterima pada jam 4.18 petang dan setibanya di lokasi didapati terdapat lima rumah yang terletak berhampiran dengan empat daripadanya sudah terbakar.

"Struktur rumah yang dibina daripada kayu ditambah faktor angin menyebabkan api marak dengan cepat.

"Jadi kita beri keutamaan kepada rumah paling akhir dengan melakukan fire break supaya kebakaran tidak merebak," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan kebakaran berlaku atas faktor kecuaian atau disebabkan masalah pendawaian.

"Siasatan lanjut akan dijalankan pasukan forensik bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian," katanya.

Operasi pemadaman melibatkan 36 anggota dari Balai Ipoh dan Pasir Puteh serta pasukan bomba sukarela dari Pekan Bharu, Bercham dan Menglembu.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus