'Penduduk tiada tempat tinggal lain jika rumah dirobohkan'

Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
Laporan Sinar Harian pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menggesa agar kediaman penduduk di Kampung Koskan Tambahan, Serendah Hulu Selangor tidak dirobohkan sehingga rundingan selesai.

Dalam kenyataan bersama, Timbalan Pengerusi PSM, S Arutchelvan dan Setiausaha Agung Muda, Amir Hadi memaklumkan, kerajaan negeri perlu campur tangan segera memberhentikan pengusiran secara paksa tersebut.

Malah kenyataan itu menjelaskan, penduduk perlu diberi pembelaan sesuai dengan slogan madani dianjurkan kerajaan pemerintah ketika ini.

"Hari ini kami telah hadir ke Kampung Koskan Tambahan, Serendah bagi bertemu penduduk kampung yang telah menerima notis untuk mengosongkan kediaman," kata kenyataan itu pada Selasa.

Ujar kenyataan itu, kebanyakan penduduk di kampung itu telah menetap lebih daripada 50 tahun serta tidak mempunyai tempat tinggal lain sekiranya dirobohkan.

"Apa yang lebih menyedihkan, mereka menerima notis mengosongkan tanah ketika umat Islam sedang bersiap menyambut Aidilfitri," jelas kenyataan itu.

Kenyataan itu menjelaskan, penduduk memaklumkan mereka tidak menerima sebarang tawaran seperti yang didakwa oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Hulu Selangor dan sekiranya ada, ia bersifat individu dan bukan dengan wakil penduduk.

"Menurut penduduk juga, permohonan hak milik tanah telah dibuat sebanyak dua kali di lot yang sama dan kedua-duanya ditolak dengan dua alasan berbeza iaitu kerana dikatakan ia tanah rizab sungai, namun penolakan kali kedua pula kerana ia tanah milik persendirian.

"Ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan penduduk dan diharapkan agar hal ini dapat diperjelaskan dengan disertakan kedudukan sebenar lot tanah yang dimaksudkan," ujar kenyataan terbabit.

Bagaimanapun, kenyataan itu menambah, penduduk kampung bersedia menerima Rumah Selangorku seperti yang diumumkan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, namun berharap terdapat perjanjian hitam putih sebelum mereka berpindah keluar.

Tegas kenyataan itu, menjadi amalan kerajaan Selangor sejak 2008 untuk menyelesaikan isu perumahan rakyat terutama golongan B40 sebelum ada pengusiran paksa.

"PSM dan Muda akan terus mengekori rapat berkaitan isu ini dan akan memberikan segala sokongan yang perlu kepada penduduk kampung," tambah kenyataan itu.

Sinar Harian Khamis lalu melaporkan, satu memorandum dihantar kepada Amirudin bagi memohon campur tangan kerajaan negeri.

Memorandum diserahkan kepada Penolong Setiausaha Bahagian Korporat, Norbaini Zainuddin di pintu masuk utama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.

Sebanyak 12 keluarga peneroka Kampung Koskan Tambahan, Serendah mendakwa bakal kehilangan tempat tinggal selepas menerima notis pengusiran, 18 April lalu.

Mereka mendakwa menerima notis berkenaan daripada sebuah syarikat pemaju perumahan dan diminta untuk mengosongkan kediaman mereka sebelum jam 9 pagi pada 2 Mei ini.