Mahdzir didakwa buat perjanjian dengan SPRM elak dituduh rasuah

Mahdzir (depan) ketika berada di luar mahkamah selepas perbicaraan kes rasuah solar melibatkan Rosmah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
Mahdzir (depan) ketika berada di luar mahkamah selepas perbicaraan kes rasuah solar melibatkan Rosmah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi kelima pendakwaan, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid terus didesak pasukan pembelaan mewakili Datin Seri Rosmah Mansor hari ini, apabila beliau didakwa membuat perjanjian untuk mengaitkan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu dalam kes rasuah projek solar agar dirinya terlepas daripada sebarang dakwaan rasuah.

Mahdzir memberitahu mahkamah hari ini bahawa dia tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara tersebut oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa dia akan didakwa selepas disiasat oleh suruhanjaya itu pada akhir 2018 mengenai projek hibrid solar Kementerian Pendidikan.

Semasa pemeriksaan balas oleh peguam bela utama, Datuk Jagjit Singh di Mahkamah Tinggi hari ini, Jagjit turut mendakwa bahawa apabila disoal siasat pihak SPRM dan mengetahui bahawa dirinya akan dikenakan pendakwaan, maka Mahdzir telah berunding dengan pasukan pendakwa.

Jagjit: Kamu lantik Datuk Vignesh untuk memastikan SPRM tidak akan mendakwa kamu dan sebagai balasan kamu menjadi saksi utama untuk mengaitkan Najib dan Rosmah, dan kamu sanggup menandatangani apa-apa dokumen untuk mengaitkan mereka.

Mahdzir: Tidak setuju

Jagjit: Setuju dengan saya, SPRM telah menemui bukti terhadap Datuk Seri (Najib) dan kamu telah mengatur surat perwakilan untuk berunding.

Mahdzir: Tidak setuju

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib mempertikaikan soalan Jagjit dan menyatakan bahawa pendakwaan hanya akan bersetuju jika ia berasas dan menyoal sama ada pihak pembelaan akan memanggil saksi untuk menyokong dakwaan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan kemudian berkata, beliau akan memberi sedikit kelonggaran kepada pihak pembelaan tetapi menasihatkan mereka supaya berhati-hati dan adil kepada saksi.

Rosmah berdepan tiga pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada Jepak Holdings sebagai habuan mendapatkan kontrak daripada Kementerian Pendidikan.

Kontrak tersebut membabitkan bekalan sistem hibrid solar kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas menteri sangkal dakwaan terima habuan RM60 juta

Mahdzir yakin Rosmah bantu Jepak dapat projek tenaga solar