Kampung Angalur jadi Mesej pertama musang king di Sabah

Kawasan seluas 147 hektar di Kampung Angalur, Kemabong akan dibangunkan sebagai Mesej yang pertama di Sabah untuk penanaman durian musang king.
Kawasan seluas 147 hektar di Kampung Angalur, Kemabong akan dibangunkan sebagai Mesej yang pertama di Sabah untuk penanaman durian musang king.
A
A
A

TENOM - Kawasan seluas 147 hektar di Kampung Angalur, Kemabong dekat sini akan dibangunkan sebagai Mini Estate Sejahtera (Mesej) yang pertama di Sabah untuk penanaman durian musang king.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, kerja-kerja awal pembersihan kawasan di skim baharu yang dikenali sebagai Mesej Angalur Kemabong itu akan bermula April ini melibatkan 40 hektar bagi fasa pertama.

“Program ini merupakan Mesej yang pertama sejak saya diberi mandat menerajui Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah, dan yang pertama tidak melibatkan tanaman komoditi sawit dan getah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan tapak di Kampung Angalur dekat sini semalam.

Ewon berkata, selain durian musang king sebagai tanaman utama, pihaknya juga bercadang untuk mempelbagaikan tanaman lain di kawasan itu seperti nanas.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kadamaian itu berkata beliau telah mengarahkan pembentukan sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Tenom dan dianggotai pihak-pihak berkepentingan untuk menyelaras pembangunan di Mesej Angalur Kemabong.

Katanya, tugas jawatankuasa itu antara lain mengenal pasti keluasan tanah yang boleh ditanam dan memuktamadkan pemilihan peserta.

Ewon berkata kementerian pada dasarnya bersetuju untuk memberi keutamaan kepada penduduk Kampung Batu dan Kampung Angalur yang yang pernah mengusahakan kawasan tanah di kawasan itu sebagai peserta Mesej itu.

Kini terdapat 25 Mesej di negeri ini yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan getah. - Bernama

Artikel Berkaitan: