X

Kindly register in order to view this article
!

Tingkatkan kesedaran elak penularan koronavirus

Angka kematian akibat jangkitan koronavirus di seluruh dunia kini meningkat kepada 910 orang. - Foto China Daily
A
A

NAMPAKNYA wabak koronavirus semakin serius menular ke seluruh dunia dengan jumlah kes kematian dan jangkitan terus meningkat setiap hari.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan China, sehingga semalam, angka kematian keseluruhan meningkat kepada 910 orang termasuk dua di luar China manakala kes baharu meningkat kepada 40,171 di seluruh negara China.

Di Malaysia, kerajaan telah mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak wabak tersebut daripada menjangkiti rakyat di negara ini.

Buat masa ini, rakyat kita seharusnya tidak terlalu panik kerana di Malaysia keadaannya masih terkawal. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, situasi negara kita masih terkawal dan tidak memudaratkan keadaan.

Bagaimanapun, kita tidak boleh mengambil sikap sambil lewa terhadap virus yang begitu berbisa itu. Perkara utama yang perlu ditekankan ialah mengenai kemasukan rakyat China melalui Singapura.

Ia seharusnya dipandang serius oleh pihak kerajaan agar pintu sempadan kita tidak mudah dimasuki oleh rakyat China yang berpotensi membawa penyakit itu ke dalam negara kita.

Kerajaan juga perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan keselamatan pekerja dari kedua-dua negara kerana ramai rakyat kita bekerja di Singapura dan begitu juga sebaliknya.

Rakyat kita juga perlu mengamalkan langkah-langkah pencegahan seperti dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan.

Pemakaian topeng muka terutama sekali di kawasan tumpuan orang awam seharusnya menjadi keutamaan.

Bagi mengelak kekurangan topeng muka di pasaran serta sikap peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga topeng muka sesuka hati, kita berharap pihak berkuasa mengambil tindakan tegas jika perlu.

Penyebaran maklumat dan berita palsu berkaitan wabak itu melalui media sosial menjadi satu lagi perkara yang perlu dielakkan. Ia boleh mencemaskan dan menakutkan ramai orang.

Sesungguhnya kesedaran untuk mengelakkan penularan koronavirus adalah tanggungjawab semua bagi memastikan rakyat kekal sihat dan hidup dalam keadaan sejahtera.