Dedah kontrak, pantau syarikat proksi

Semakan tidak sekadar terhenti pada nama syarikat atau pengarah yang didaftarkan tetapi kenal pasti juga individu yang sebenarnya memiliki atau mengawal operasi perniagaan berkenaan. Gambar hiasan
Semakan tidak sekadar terhenti pada nama syarikat atau pengarah yang didaftarkan tetapi kenal pasti juga individu yang sebenarnya memiliki atau mengawal operasi perniagaan berkenaan. Gambar hiasan
A
A
A

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa maklumat kontrak kerajaan akan didedahkan kepada umum mulai 2027 membuka ruang lebih luas untuk rakyat memantau penggunaan wang negara.

Langkah itu perlu disusuli penelitian terhadap pihak sebenar di belakang syarikat penerima kontrak terutama bagi mengelakkan kontraktor bermasalah menggunakan nama proksi untuk memperoleh projek baharu.

Ini sebagai jaminan kontraktor yang pernah disenaraihitamkan tidak kembali membida projek kerajaan melalui syarikat lain yang didaftarkan atas nama individu berbeza.

Jika ruang sedemikian tidak ditutup, tindakan menyenaraihitamkan kontraktor mungkin kurang berkesan kerana sekatan terhadap syarikat bermasalah itu boleh berselindung di sebalik entiti lain.

Justeru, kerajaan wajar memperkukuh proses tapisan dengan menyepadukan rekod senarai hitam, sejarah prestasi kontraktor dan maklumat pemunya benefisial yang disimpan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Semakan tidak sekadar terhenti pada nama syarikat atau pengarah yang didaftarkan tetapi kenal pasti juga individu yang sebenarnya memiliki atau mengawal operasi perniagaan berkenaan.

Pada masa sama, rekod projek terbengkalai, kelewatan serius dan pelanggaran kontrak yang terbukti perlu diberi perhatian dalam penilaian tender baharu.

Namun, hubungan pemilikan semata-mata tidak boleh dianggap bukti salah laku kerana sebarang sekatan adalah berdasarkan penelitian menyeluruh dan proses yang adil.

Selain itu, maklumat kontrak yang didedahkan perlu mudah dicari rakyat tanpa memerlukan nombor tender atau kod projek kerana ia tidak diketahui orang awam.

Ketelusan itu akan membuka ruang kepada pemantauan bebas dan tindakan susulan apabila wujud petunjuk penyalahgunaan sistem perolehan.

Akhirnya, reformasi perolehan kerajaan bukan sekadar memastikan rakyat mengetahui syarikat yang memperoleh kontrak, tetapi mengatasi kelicikan pihak yang dikenakan sekatan daripada kembali mendapat projek melalui penyamaran pemilikan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!