Isu kangkung, lemon: 'Anda boleh dengar, sama ada ikut atau tidak'

Sidang media KKM di sini, hari ini.
Sidang media KKM di sini, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - "Anda boleh dengar, terpulang sama ada hendak ikut atau tidak," tegas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berhubung cadangan Doktor Kesihatan Profesional (MBBS), Dr Noordin Darus.

Tegasnya, KKM mengamalkan bukti berasaskan perubatan (evidence based medication).

"Kami telah tegaskan betapa perlunya kita mengambil langkah mempertingkatkan kebersihan diri seperti cuci tangan dan menggunakan cecair pembasmi kuman.

" Tetapi kalau ada yang hendak cadangkan selain daripada itu, anda boleh dengar sama ada nak ikut atau tidak," katanya pada sidang media perkembangan koronavirus di kementeriannya di sini hari ini.

Jumaat lalu, dalam Wacana Sinar Harian Siri 155 bertajuk: Koronavirus: Adakah kita lambat bertindak? Dr Noordin mencadangkan kepada sesiapa yang terkena jangkitan koronavirus agar meminum air kelapa dan air lemon suam antara enam hingga tujuh gelas pada hari pertama.

Tambahnya, pada hari kedua pula pengambilan air itu perlu diteruskan tetapi dikurangkan kepada masing-masing lima gelas serta perlu mengambil banyak sayur hijau seperti kangkung.

Doktor itu turut menasihati agar kurangkan kekerapan mengambil daging, susu dan gula dalam usaha meningkatkan ketahanan badan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kerap mandi, banyakkan makan kangkung'

Artikel Berkaitan:

Dalam sidang media yang sama, Dr Dzulkefly memberitahu seramai 22 individu yang merupakan kontak rapat kepada kes 18 positif koronavirus di Kuala Langat telah berjaya dikesan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata, daripada jumlah itu tiga individu merupakan ahli keluarga lelaki berusia 31 tahun tersebut iaitu ibu, adik dan sepupu.

"19 individu lagi merupakan anggota kesihatan yang merawat lelaki berkenaan tanpa memakai peralatan pelindung diri," katanya.

Menurutnya, sampel telah diambil bagi ketiga-tiga ahli keluarga itu untuk ujian pengesanan saringan.

"Kita juga sedang mengambil sampel daripada anggota perubatan yang merawatnya," katanya.

Setakat jam 10 pagi tadi, seramai 18 kes positif koronavirus disahkan termasuk tiga daripadanya telah pulih dan dibenarkan pulang.