Menyorok bawah tilam, pasangan pelajar dicekup khalwat di hotel

JOHOR BAHRU - Seorang remaja lelaki bertindak menyorok di bawah tilam selepas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) menyerbu sebuah bilik hotel di Pasir Gudang di sini pada pagi Isnin.
Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dalam kenyataannya memaklumkan serbuan dijalankan pada kira-kira jam 9.15 pagi itu.
Jelas beliau, pintu hotel berkenaan tidak dibuka sebaik penguat kuasa tiba malah kedengaran bunyi perabot bergerak dari dalam bilik menyebabkan penguat kuasa mengetuk pintu sekali lagi.
"Selepas kira-kira 10 minit, seorang remaja perempuan berusia 19 tahun membuka pintu sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan.
"Pemeriksaan mendapati wanita terbabit berada seorang diri di dalam bilik sebelum penguat kuasa menemui sepasang kasut lelaki yang menimbulkan syak wasangka," katanya.
Tambah kenyataan itu, remaja itu pada mulanya tidak memberikan penjelasan mengenai keberadaan lelaki terbabit, malah pemeriksaan di tandas juga tidak menemui sesiapa.
“Bilik itu mempunyai dua katil bujang dan keadaan salah satu katil kelihatan tidak teratur, termasuk tilam yang berlekuk, cadar serta selimut berselerak dan bantal berada di lantai.
“Penguat kuasa kemudian meminta wanita itu bangun sebelum mendapati terdapat sesuatu mencurigakan di bawah tilam,” katanya.
Menurut beliau, selepas diarahkan keluar, kelihatan tangan seorang lelaki muncul dari bawah tilam sebelum penguat kuasa mengangkat tilam berkenaan dan menemui lelaki berkenaan.
“Lelaki itu kelihatan terkejut apabila mendapati bilik berkenaan sudah dimasuki penguat kuasa.
“Hasil soal siasat mendapati pasangan itu mengaku bukan suami isteri dan merayu supaya tidak ditahan atas alasan mereka masih belajar,” katanya.
Siasatan awal mendapati lelaki terbabit adalah pelajar sebuah kolej dan berasal dari negeri lain, manakala wanita itu juga pelajar kolej sama dan berasal dari Johor Bahru.
Kedua-duanya dipercayai baru berkenalan selepas melanjutkan pengajian di kolej berkenaan sebelum hubungan mereka menjadi semakin rapat.
Pasangan itu kemudian dibawa untuk tindakan lanjut sebelum ibu bapa masing-masing hadir sebagai penjamin.
Kes disiasat mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor dan pasangan terbabit akan dihadapkan ke Mahkamah Syariah untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

