Koronavirus: Pengilang tambah pengeluaran topeng muka, kata menteri

Saifuddin Nasution
Saifuddin Nasution
A
A
A

KUALA LUMPUR- Pengilang penutup mulut dan hidung bersetuju untuk meningkatkan jumlah pengeluaran bagi menangani isu kekurangan bekalan di pasaran dalam masa terdekat, berikutan peningkatan permintaan susulan jangkitan novel koronavirus 2019.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dicapai hasil daripada sesi libat urus Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan pihak industri termasuk pengeluar, pengimport, pemborong dan peruncit penutup mulut dan hidung.

“Pemeriksaan dan lawatan ke kilang pengeluar penutup mulut dan hidung juga telah dilakukan bagi melihat proses pengeluaran dan seterusnya berbincang dengan mereka untuk meningkatkan pengeluaran daripada pengeluaran biasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata KPDNHEP akan terus bekerjasama dengan pihak industri bagi menyelesaikan sebarang cabaran dan kekangan yang dihadapi supaya bekalan penutup hidung dan mulut di pasaran dipertingkat bagi memenuhi permintaan pengguna.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, KPDNHEP telah mengeluarkan kompaun bernilai RM57,400 dan rampasan sebanyak RM4,255.50 sepanjang operasi pemeriksaan bekalan penutup mulut dan hidung dari 25 Januari sehingga semalam.

Katanya dalam tempoh itu juga sebanyak 2,103 premis perniagaan dipantau dan 17 kesalahan telah dikesan dengan 14 kes jualan melebihi harga maksimum dan tiga kes tidak mempamerkan tanda harga.

“Pegawai penguat kuasa kementerian akan pertingkatkan pemantauan di premis perniagaan yang menjual penutup mulut dan hidung sehingga isu novel koronavirus 2019 dapat dibendung bagi menangani sebarang jualan melebihi harga kawalan atau kenaikan tidak munasabah,” kata Saifuddin Nasution.

Penutup mulut dan hidung merupakan barang harga terkawal mengikut Perintah Kawalan Harga (Barang-Barang Harga Terkawal) 2009 dan Perintah Kawalan Harga (Penetapan Harga Maksimum) (No.2) 2009 yang mana peniaga menjual penutup mulut dan hidung melebihi harga diwartakan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Artikel Berkaitan:

Pengguna yang terjumpa sebarang insiden penjualan penutup hidung dan mulut melebihi harga kawalan boleh membuat aduan kepada KPDNHEP melalui mana-mana sembilan saluran aduan kementerian itu termasuk WhatsApp di talian 019-2794317.-Bernama