Lelaki warga China dirawat di HKL pulih sepenuhnya

Noor Hisham Abdullah
Noor Hisham Abdullah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga China berusia 63 tahun, yang menjalani rawatan di wad isolasi Hospital Kuala Lumpur susulan jangkitan koronavirus telah bertambah baik dan pulih sepenuhnya dengan hasil ujian pengesanan ulangan bagi virus itu didapati negatif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang merupakan kes kesepuluh positif virus itu telah diberikan rawatan bagi gejala (symptomatic treatment) dengan pengawasan berterusan dan tiada keperluan untuk rawatan ubat antiviral.

"Terkini, dua ujian ulangan bagi virus itu yang dijalankan berturut-turut ke atasnya pada 7 dan 8 Februari lepas adalah negatif dan pesakit akan dibenarkan pulang pada petang ini," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya.

Kementerian Kesihatan (KKM) ingin mengucapkan tahniah kepada Hospital Kuala Lumpur yang telah memberikan rawatan terbaik kepada pesakit berkenaan.

"Sekalung penghargaan juga kepada Pejabat Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang terlibat dalam siasatan, pengesanan kontak, dan langkah pencegahan, serta kawalan bagi mencegah penularan," katanya.

Semalam, seorang lelaki warga China yang dimasukkan ke wad isolasi Hospital Permai, Johor Bahru pada 24 Januari juga dibenarkan pulang selepas keputusan ujian ulangan ketiga didapati negatif.

Lelaki itu merupakan pesakit kedua koronavirus yang dibenarkan pulang selepas seorang kanak-kanak perempuan warga China yang menjalani rawatan di Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah turut dibenarkan pulang pada 4 Februari lalu. - Bernama

Artikel Berkaitan: