X

Kindly register in order to view this article
!

Koronavirus: AS tawar bantuan RM414 juta

Anggota perubatan melawat salah seorang pesakit yang dijangkiti koronavirus di sebuah hospital di Zouping di timur wilayah Shandong, China. - Foto AFP
A
A

WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) semalam menawarkan sehingga AS$100 juta (RM414.16 juta) kepada China dan negara terjejas lain yang berusaha memerangi koronavirus.

Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dalam satu kenyataan memberitahu, Washington akan menyediakan bantuan sama ada secara langsung atau tidak langsung melalui organisasi multilateral.

"Komitmen ini yang mendapat limpahan sumbangan daripada sektor swasta AS menunjukkan kepimpinan negara yang kuat sebagai tindak balas terhadap wabak tersebut.

"Melalui kerjasama, kita boleh mencapai hasil terbaik bagi membendung ancaman yang semakin meningkat ini," katanya.

Sebelum ini, Pompeo sering mengkritik China mengenai isu hak asasi manusia dalam konteks perbelanjaan infrastruktur luar negara.

Menurutnya, perbelanjaan tersebut akan dikeluarkan daripada dana yang tidak ditentukan yang telah diperuntukkan dalam kerajaan AS.

Difahamkan, bantuan itu dibuat selepas Beijing mengkritik tindak balas AS terhadap krisis kesihatan dan mendakwa Washington menyebarkan ketakutan dengan menghalang warga asing membuat perjalanan ke China.

Bagaimanapun, Presiden Donald Trump kelmarin memuji tindak balas China sebagai sangat profesional selepas beliau bercakap melalui telefon dengan rakan sejawatannya, Presiden Xi Jinping.

"AS telah menyumbangkan hampir 17.8 tan bekalan perubatan ke China termasuk topeng, baju perlindungan, kain kasa dan respirator (alat pelindung pernafasan).

Sejak mula dikesan di bandar Wuhan, China awal Disember lalu, angka kematian setakat ini mencecah 724 orang dan 34,889 kes disahkan termasuk di luar China. - AFP