KPDNHEP kesan pemborong, peniaga naikkan harga topeng muka

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertindak tegas terhadap pemborong dan peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka berikutan penularan koronavirus.

Pemeriksaan penguatkuasaan sejak 29 Januari lalu sehingga semalam di seluruh mengesan premis perniagaan yang menjual barangan itu melebihi harga kawalan.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, sebanyak 13 kompaun dikeluarkan bagi kesalahan tersebut mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Menurutnya, dua lagi kes melibatkan kesalahan tiada tanda harga di bawah Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

"Sebanyak 216 aduan diterima dan sepanjang tempoh pemeriksaan itu, penguatkuasa mengeluarkan kompaun berjumlah RM32,200 dengan rampasan bernilai RM4,215.50

“Mulai 3 Februari tahun ini, kadar minima kompaun adalah RM10,000 bagi perseorangan dan RM20,000 bagi syarikat.

“Kompaun tersebut perlu dibayar dalam tempoh 14 hari dari tarikh dikeluarkan dan jika gagal berbuat demikian, peniaga akan didakwa di mahkamah,” katanya kepada Sinar Harian.

Sepanjang tempoh pemeriksaan itu beliau berkata, tiada kes direkodkan bagi kesalahan petunjuk atau gambaran yang mengelirukan dan menyorok atau menahan barangan tersebut daripada sampai ke pasaran untuk tujuan memanipulasi.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan menetapkan harga maksimum runcit bagi harga barang terkawal ke atas lima jenis topeng muka termasuk N95 ialah RM100 sekotak pada harga borong manakala RM6 seunit bagi runcit.

Individu yang melanggar kesalahan di bawah akta berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu bagi syarikat pula boleh didenda tidak melebihi RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM1 juta.