Perlis perlu RM3 bilion atasi masalah air tidak berhasil

NRW di Perlis dilaporkan berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kebocoran paip air, kecurian bekalan dan commersial losses. (Gambar kecil:Hamizan Hassan)
NRW di Perlis dilaporkan berpunca daripada pelbagai faktor termasuk kebocoran paip air, kecurian bekalan dan commersial losses. (Gambar kecil:Hamizan Hassan)
A
A
A

KANGAR - Kadar Air Tak Berhasil (Non Revenue Water) negeri Perlis mencatatkan lebih 60 peratus bekalan air bersih hilang pada setiap hari.

Exco Kemudahan dan Prasarana Awam, Pengangkutan, Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hamizan Hassan berkata, jumlah kehilangan air yang dicatatkan ialah sebanyak 124 juta liter sehari (MLD).

Beliau berkata, keadaan itu berpunca daripada berlakunya kebocoran paip air, kecurian bekalan dan juga atas faktor commersial losses.

“Disebabkan keadaan itu, Perlis memerlukan kira-kira RM3 bilion untuk menggantikan paip lama kepada paip baharu bagi mengurangkan kadar NRW,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Menurut Hamizan, lebih daripada 50 peratus paip air sepanjang 1,900 kilometer adalah paip jenis asbestos cement (AC).

“Kesemua paip itu telah pun digunakan dengan tempoh yang terlalu lama sehingga menyebabkan ia menjadi mudah bocor dan rapuh,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bekalan air di Perlis mampu bertahan bagi tempoh tiga hingga empat bulan dari sekarang berikutan paras Empangan Timah Tasoh menunjukkan kapasiti menurun.

Katanya, setakat ini bekalan air kepada pengguna di negeri ini masih mencukupi dan tiada catuan air dilakukan walaupun paras empangan Timah Tasoh menurun.

Artikel Berkaitan:

“Kita jangka dalam tempoh itu akan berlaku pertambahan air melalui penurunan hujan sekitar April hingga Mei nanti,” katanya.