Koronavirus: Sarawak tolak kemasukan 42 warga asing

Bandaraya Kuching, Sarawak. Foto: 123rf
Bandaraya Kuching, Sarawak. Foto: 123rf
A
A
A

KUCHING - Jabatan Imigresen Sarawak menolak kemasukan 42 warga asing dalam tapisan ketibaan pelawat sejak 1 Februari lepas hingga 7 pagi tadi, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengenai wabak koronavirus.

Menerusi satu kenyataan hari ini, jawatankuasa itu memaklumkan tapisan itu dibuat di lapangan terbang di Kuching, Sibu, Bintulu, Miri dan Mulu serta pusat pemeriksaan sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Biawak dekat Lundu, Sungai Tujoh (Miri) dan Mengkalap (Lawas).

“Daripada jumlah yang ditolak, 22 adalah warga China, Hong Kong (tujuh), Indonesia (enam), Brunei (empat) masing-masing seorang dari Great Britain, Jepun dan Singapura. Mereka tidak dibenarkan masuk kerana pasport menunjukkan mereka pernah ke China dalam tempoh 14 hari lepas,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan negeri merekodkan enam kes baharu pesakit dalam siasatan (PUI) setakat 10.30 pagi tadi iaitu lima daripadanya dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak di sini, manakala seorang lagi di Hospital Bintulu.

Kes baharu itu menjadikan kes PUI terkumpul di negeri ini kepada 46 sejak 10 Januari lepas.

Bagaimanapun, keputusan 34 kes didapati negatif daripada jangkitan, manakala 12 lagi masih menunggu ujian makmal. - Bernama

Artikel Berkaitan: