Sime Darby serah tanah 16 hektar

Kula Segaran ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Dengan Pekerja-Pekerja Ladang Berkenaan SKRE di Ladang Elphil, di sini hari ini.
Kula Segaran ketika sidang media selepas Majlis Perjumpaan Dengan Pekerja-Pekerja Ladang Berkenaan SKRE di Ladang Elphil, di sini hari ini.
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kementerian Sumber Manusia menyambut baik tindakan Sime Darby menyerahkan tanah seluas 16 hektar bagi tujuan Skim Khas Pembiayaan Rumah Pekerja Estet (SKRE).

Menterinya, M Kula Segaran berkata, perbincangan bersama pemilik-pemilik ladang besar di negara ini sudah dibuat pada Mac tahun lalu mengenai skim berkenaan dan setakat ini hanya Sime Darby sudah menyerahkan tanah seluas empat hektar di Ladang Elphil, di sini dan 12 hektar di Pulau Carey, Banting, Selangor kepada kementerian.

Beliau berkata, bagi tanah Ladang Elphil, pihaknya akan menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk proses pecahan lot sebelum ditawarkan kepada mereka yang layak untuk didirikan rumah.

"Ada ladang-ladang lain yang telah menunjukkan minat selain Sime Darby dan kita harap lebih banyak syarikat yang akan berbuat demikian sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka.

"Semua pekerja di ladang berkenaan boleh mengemukakan permohonan dan kita akan buat pemilihan mengikut kelayakan ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Dengan Pekerja-Pekerja Ladang Berkenaan SKRE di Ladang Elphil, di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Amir Omar; Ketua Pegawai Khidmat Operasi Sime Darby, Adi Wira Abd Razak; Exco Kerajaan Perak, A Sivanesan; Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jalong, Loh Sze Yee.

Kula Segaran berkata, SKRE bukanlah baharu kerana pada tahun 2012 kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan RM50 juta bagi melaksanakannya.

Katanya, pekerja yang layak diberikan pinjaman wang untuk membina rumah di antara RM44,000 sehingga RM120,000 dengan kadar faedah dua peratus.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, bagi kawasan seluas empat hektar di Ladang Elphil, beliau menganggarkan sebanyak kira-kira 100 rumah teres dua tingkat berharga kurang RM150,000 dapat dibina untuk pekerja-pekerja di ladang tersebut.

Dalam pada itu, Sivanesan turut mengalu-alukan usaha dilakukan Kementerian Sumber Manusia dan juga Sime Darby.

Katanya, bagi pihak kerajaan negeri perkara tersebut tidak menjadi halangan untuk dilaksanakan dan soal berkaitan tanah akan dibincangkan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Beliau turut mencadangkan agar pihak kementerian berbincang dengan Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) bagi memudahkan proses pembinaan rumah di kawasan tersebut.