X

Kindly register in order to view this article
!

Karnival Semarak Juara bakal hangatkan Sukma XX Johor 2020

Khuzzan (tiga dari kanan) menerima jadual rasmi Karnival Semarak Juara daripada On Jabbar pada sidang akhbar Karnival Semarak Juara di Hotel Thistle, Johor Bahru semalam.
A
A

SEMPENA penganjuran Sukma XX yang bakal diadakan di Johor, pihak penganjur menerusi Sekretariat Sukma mengambil inisiatif menganjurkan Karnival Semarak Juara 2020 yang bertujuan untuk membawa kehangatan temasya Sukma XX Johor 2020 yang akan membuka tirainya pada 11 Julai depan.

Dataran Majlis Bandaraya Johor Bahru dipilih sebagai venue untuk karnival ini yang akan menyediakan pelbagai aktiviti dan program sepanjang ianya berlangsung.

Semarak Juara Fun Run 2020 telah berjaya menarik 5,000 peserta di bawah dua kategori larian iaitu 5 kilometer (km) dan 1.5 kilometer (km) ‘Fun Walk’.

Larian ini bakal diserikan lagi dengan kehadiran Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal, yang akan bersama-sama menyertai larian kategori 5km Fun Run.

Di samping itu, Majlis Pelancaran Cenderahati Rasmi SUKMA XX dan Majlis Pelancaran Skuad Promosi Road to Sukma juga akan diadakan semasa karnival ini sebagai ‘kick off’ bagi sesi Jelajah Promosi Sukma XX.

Maskot rasmi Sukma XX Johor 2020.
Maskot rasmi Sukma XX Johor 2020.

Pelbagai aktiviti menarik akan dijalankan sepanjang tiga hari karnival seperti Semarak Juara Sports Challenge 2020, pameran agensi, gerai jualan makanan sihat, sesi bersama legenda sukan Johor, demonstrasi acara-acara sukan, persembahan pentas dan kemunculan artis jemputan.

Program promosi Road to Sukma ini akan diadakan di empat lokasi berbeza di Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Kedah, Melaka, Pahang dan Johor sebagai destinasi terakhir bagi sesi road show ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan, dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar, menjangkakan edisi Sukma kali ini bakal membuka lembaran baru sepanjang sejarah penganjurannya sejak pertama kali dipertandingkan pada tahun 1986.

“Sebagai penganjur, kami sangat teruja dan sangat menantikan Majlis Pembukaan Sukma XX Johor 2020 yang bakal berlangsung pada 11 Julai ini.

“Untuk edisi kali ini, ianya pasti akan menyajikan acara sukan yang menarik untuk para peminat dengan 32 jenis sukan akan dipertandingkan termasuk silambam sebagai sukan pertunjukan,” katanya.

Beliau menambah, Johor telah diberi penghormatan kali kedua untuk menganjurkan Sukma selepas kali pertama menjadi tuan rumah pada tahun 1992.

Untuk itu katanya, pihak penganjur akan memastikan setiap venue pertandingan berada dalam tahap yang terbaik dan siap sepenuhnya untuk memastikan kelancaran sepanjang Sukma XX ini berlangsung.

“Untuk edisi kali ini, kami akan mengklasifikasikan venue pertandingan ini mengikut kluster sukan dari kluster A hingga kluster H dan kapasiti venue boleh memuatkan dari 600 sehingga ke 30,000 orang penonton pada satu-satu masa,” katanya.

Mohd Khuzzan berkata, Karnival Semarak Juara 2020 ini juga antara langkah untuk menerapkan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat khususnya buat rakyat negeri Johor.

“Karnival ini merupakan salah satu langkah untuk mempromosikan Sukma XX dan juga sebagai persediaan awal sebelum Sukma XX membuka tirainya pada Julai depan.

“Ia juga merupakan platform yang terbaik untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya rakyat di negeri Johor tentang kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat. Saya menjangkakan bahawa penganjuran karnival ini pasti mendapat sambutan yang meriah terutama dari rakyat negeri ini," ujarnya.

Namun demikian jelasnya, Karnival Semarak Juara Fun Run terpaksa ditangguhkan pada saat akhir berikutan penularan wabak koronavirus yang sudah menyaksikan 10 kes setakat ini di Malaysia manakala Singapura pula sudah merekodkan 24 kes sehingga kini.

“Berikutan jarak dekat di antara Johor dan Singapura, selain sebagai langkah berjaga-jaga, kami terpaksa membuat keputusan untuk menangguhkan karnival tersebut sehingga tarikh yang bakal diumumkan kemudian,” kata Mohd Khuzzan.

Khuzzan (kiri) dan On Jabbar bersama maskot rasmi Sukma XX Johor 2020, Jimi ketika menghadiri majlis sidang akhbar semalam.
Khuzzan (kiri) dan On Jabbar bersama maskot rasmi Sukma XX Johor 2020, Jimi ketika menghadiri majlis sidang akhbar semalam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sports Johor Sdn Bhd, On Jabbar berkata, Karnival Semarak Juara ini adalah peluang bagi masyarakat khususnya di negeri Johor untuk mengamalkan gaya hidup yang sihat dan cergas.

“Kami di Sekretariat Sukma Johor ingin menjemput orang ramai untuk hadir untuk acara ini dan memeriahkan dan meraikan kedatangan Sukma XX ke negeri Johor yang bakal bermula pada 11 Julai nanti,” katanya.

Kurang 156 hari menjelang Sukma XX Johor 2020, edisi ke-20 ini bakal melibatkan tiga daerah di Johor iaitu Johor Bahru, Kota Tinggi dan Muar sambil temasya kali ini menjanjikan sesuatu yang istimewa buat para peminat sukan.

Sebanyak 39 venue pertandingan akan digunakan untuk edisi kali ini antaranya di Johor Bahru bagi 28 acara, diikuti Muar (3) dan Kota Tinggi (2) (pelayaran, berbasikal lebuh raya).

Sejumlah 434 pingat akan dipertaruhkan di dalam 16 sukan wajib, 15 sukan pilihan dan satu sukan pertunjukan iaitu silambam.

Edisi kali ini juga akan menyediakan liputan komprehensif dengan penglibatan platform digital bagi memberikan info dan keputusan terkini mengenai temasya yang akan dimuat naik di laman web rasmi, www.sukmaxxjohor2020.my, laman Facebook rasmi - SUKMA XX JOHOR 2020 dan Instagram - @sukmaxxjohor2020.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!