Masih ramai warga maya yang prihatin

Kuasa viral berjaya mengesan pemilik surat berkenaan.
Kuasa viral berjaya mengesan pemilik surat berkenaan.
A
A
A

SEBAGAI insan biasa ada ketikanya saya tersilap congak. Sebagai contoh saya selalu prejudis terhadap warga siber. Saya terlalu negatif tentang media sosial.

Saya ada sebab bersikap demikian. Saya dapati media sosial WhatsApp, Facebook, Twitter dan sebagainya – penuh dengan fitnah. Warga siber menggunakan laman-laman tersebut untuk perkara tidak baik.

Setiap kali saya membuka mana-mana laman sosial terutama WhatsApp dan FB yang saya nampak hanya perkara-perkara tidak baik.

Orang menyebar pelbagai fitnah, orang mengumpat, maki hamun, orang berkelahi kerana politik dan agama, orang menyebarkan segala sampah sarap.

Kadangkala apa yang dimuatkan dalam media sosial saya tidak nampak manfaatnya. Contoh, dimuatkan hidangan makan pagi di restoran, dengan catatan “baru bersarapan di restoran...”.

Makan pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam, semua diambil gambar dan ditularkan.

Berjoging di taman, tukar baju baru, siram bunga di halaman rumah, semua hendak dirakam dan diposkan dalam media sosial, untuk apa?

Hatta kalau tidak ada apa-apa hendak dirakam dan diposkan, mereka mengirim bukan sesekali tetapi setiap 10 minit pesan “salam Rabu”, “selamat pagi”, “tengah buat apa tu”, macam-macam.

Artikel Berkaitan:

Saya ingat sesetengah orang tidak ada kerja lain, sebab itu terlalu banyak masa untuk bergajet dan bersosial media!

Walaupun sebagai orang media item-item di internet itu perlu sebagai sumber maklumat, saya naik muak dengan sampah dan sumpah-seranah yang entah apa-apa itu.

Sebab itu kecuali WhatsApp kumpulan kerja di pejabat, jarang sekali saya membuka mana-mana media sosial. Saya bosan.

Pagi semalam persepsi saya berubah sedikit. Berkereta ke pejabat saya mendengar Sinar FM, antara stesen radio pilihan saya ketika memandu.

Juruhebah pujaan menyiarkan: seorang wanita, Kak Pah, telah menerima surat tawaran menunaikan haji. Surat daripada Tabung Haji itu dihantar ke alamat rumah tempat dia menyewa.

Ada orang yang prihatin membuka surat tersebut tetapi Kak Pah sudah lama keluar dari rumah sewa berkenaan dan tidak tahu di mana hendak dikesan.

Maka surat tawaran itu diberitahu kepada stesen radio popular untuk diwar-warkan. Juruhebah pujaan ramai itu memberitahu: “Kak Pah ni mungkin telah lama menunggu giliran untuk panggilan ke Makkah, kini dah ada tawaran dia tidak dapat dikesan pula. Kepada sesiapa yang mengetahui di mana beliau, sila beritahu khabar baik ini kepada beliau.”

Secara peribadi saya pun simpati kepada wanita berkenaan. Kalau tidak dapat dikesan dia mungkin terlepas giliran untuk menunaikan haji.

Memandangkan jumlah yang menunggu giliran terlalu panjang dia mungkin terpaksa menunggu bertahun lagi untuk menjadi tetamu ALLAH itu. Mudah-mudahan ada yang membantu dan dia dapat dikesan.

Dalam masa tidak sampai 10 minit, juruhebah stesen berkenaan memberitahu bahawa puan yang empunya diri telah dapat dikesan, dan tawaran Tabung Haji itu telah disampaikan kepadanya.

Selain keprihatinan para pendengar yang mengikuti siaran tersebut, warga siber juga memainkan peranan mengesan wanita yang telah berpindah rumah itu.

Dengan kerjasama dan rasa kasih, warga siber berhubung sesama mereka menggunakan pelbagai media sosial dan dalam masa singkat bakal jemaah haji itu berjaya ditemukan.

Tidak itu sahaja dalam masa singkat berpuluh pesanan telah diterima stesen berkenaan daripada warga maya menggunakan rangkaian sosial untuk memaklumkan wanita berkenaan telah ditemukan.

Malah, salah seorang anak wanita berkenaan juga telah menghubungi juruhebah, mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin terhadap ibunya.

Syabas kepada stesen Sinar FM yang bermurah hati memberikan beberapa saat siaran di udara untuk pengumuman ringkas yang bermanfaat itu.

Kepada Kak Pah, saya mengucapkan selamat menjadi tetamu ALLAH.Dan, kepada diri saya sendiri, bukan semua pengguna media sosial itu tidak baik. Memang ramai yang tidak bertanggungjawab menyebar fitnah. Tetapi, ramai juga yang baik!

* Datuk Abdul Jalil Ali ialah Penasihat Eksekutif Sinar Harian. Beliau juga merupakan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah (UMS)