X

Kindly register in order to view this article
!

'Terima kasih jadi benteng utama kepada rakyat Malaysia'

Paparan Facebook KKM menarik perhatian rakyat Malaysia malah menzahirkan jutaan terima kasih kepada petugas misi berkenaan.
A
A

KUALA LUMPUR - "Terima kasih menjadi benteng utama kepada rakyat Malaysia, semoga ALLAH SWT merahmati kalian semua."

Demikian kata-kata penghargaan daripada pengguna Facebook, Shanaz Shana buat petugas dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana membawa 107 rakyat Malaysia pulang setelah berdepan perintah berkurung di bandar raya dalam wilayah Hubei, China.

Menurutnya, petugas yang berusaha keras dalam operasi menangani penularan koronavirus adalah wira Malaysia yang berani.

Shanaz berkata begitu merujuk kepada kenyataan di akaun Facebook Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

"Wajah-wajah mereka yang terlibat dalam misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan. Mereka terdiri daripada kakitangan KKM, Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Luar dan krew penerbangan AirAsia.

"Kepada mereka semua (termasuk yang tiada dalam gambar) jutaan terima kasih diucapkan kerana menjayakan misi ini," tulisnya.

Dalam pada itu, rakyat Malaysia, Hamidah Shafie menzahirkan ucapan tahniah dan rasa penghargaan di atas pengorbanan mereka membawa rakyat negara ini pulang ke tanah air.

"Tahniah atas pengorbanan kalian. Semoga dipermudahkan segala urusan..." kata Has Harris.

Ujar Ali Ahmad, "Alhamdulillah semoga semuanya dipermudahkan segala urusan dan dilindungi oleh ALLAH SWT."

Dalam pada itu, rata-rata netizen menghargai usaha dan kerja keras para petugas bagi memastikan semua berjalan dengan lancar.

Puteri Sazaniha berkata, "Inilah wajah-wajah anak bangsa kebanggaan negara. Terima kasih..."

Sehingga jam 3 petang, posting tersebut meraih lebih 2,200 tanda suka daripada netizen.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (Nadma) berkata, daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, seramai dua individu tidak melepasi tapisan kesihatan dan telah dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) manakala seramai 105 individu dibawa menaiki bas ke Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) yang terletak di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Menurutnya, misi tersebut menggunakan pesawat Air Asia AK 8265 dari Wuhan, China selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada jam 6 pagi dengan membawa pulang 133 orang.

Jumlah itu termasuk lapan petugas misi, enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia dan 12 kru penerbangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia bawa pulang 107 individu dari Wuhan


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!