Tiada kes koronavirus di GM Klang

Bangunan GM Klang
Bangunan GM Klang
A
A
A

SHAH ALAM – GM Klang menafikan terdapat kes melibatkan wabak koronavirus berlaku di pusat pemborong tersebut sebagaimana tular di laman sosial sejak semalam.

Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awamnya berkata, nama pusat pemborong itu telah dikaitkan dengan wabak tersebut sehingga timbul pelbagai spekulasi menyebabkan orang awam bimbang dan cemas.

"Berikutan perkara ini, pihak pengurusan GM Klang ingin menjelaskan keadaan sebenar serta ingin menafikan kenyataan tidak benar atau berita palsu yang telah dicipta dan disebarkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

"Sebagai salah satu badan korporat di Malaysia, GM Klang amat memandang serius mengenai penyebaran berita palsu ini kerana ianya telah mencemar kredibiliti dan mengganggu aktiviti-aktiviti perniagaan di sini," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Syarikat itu menjelaskan, perkara ini dipercayai tercetus daripada pengumuman yang telah dibuat oleh Khidmat Pelanggan GM Klang yang berkongsikan kepada para pengunjung mengenai langkah-langkah pencegahan koronavirus yang disyorkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Bagaimanapun, niat baik itu disalahertikan oleh sesetengah pihak yang beranggapan pengumuman itu dibuat kerana terdapat kes koronavirus di pusat pemborong itu.

"Kami juga telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkenaan penyebaran berita palsu ini supaya siasatan dan tindakan susulan dapat dilakukan kepada pesalah-pesalah siber ini," tegasnya.

Sehubungan itu, GM Klang menyarankan agar orang ramai tidak terpedaya dengan berita-berita palsu dan meminta mereka supaya merujuk kepada saluran-saluran yang dipercayai sebelum menerima daripada mana-mana sumber berita yang tidak sah.

Artikel Berkaitan:

"GM Klang juga tidak teragak-agak untuk membuat aduan kepada mana-mana individu yang telah menyebarkan berita tidak benar ini," katanya.