SRC: Jaminan kerajaan bukan kepentingan nasional semata-mata

Najib berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes SRC hari ini. FOTO: ZAHID IZZANI
Najib berada di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes SRC hari ini. FOTO: ZAHID IZZANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Saksi ketiga pembelaan kes penyalahgunaan dana daripada SRC International Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini, jaminan kerajaan tidak semestinya menyentuh kepentingan nasional semata-mata.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah berkata, jaminan itu turut menyentuh keupayaan sesebuah syarikat membayar balik hutang yang dibuat.

Ketika pemeriksaan utama oleh peguam bela Farhan Read, saksi itu berkata, rekod prestasi syarikat pemohon akan dinilai termasuk projek yang akan dilaksanakan kelak.

Farhan: Oleh itu, kerajaan perlu tahu dengan kemampuan syarikat pemohon untuk membayar hutang?

Mohd Irwan: Ya, kerajaan menilai sama ada projek itu perlu dibuat, memberi kepentingan dan mereka mampu membayar balik pinjaman.

Farhan: Adakah pemberian jaminan kerajaan akan diberi kepada syarikat yang baharu?

Mohd Irwan: Mana-mana entiti yang memohon jaminan kerajaan perlu menunjukkan keupayaan mereka untuk membayar balik hutang. Anda tidak boleh mengatakan ‘demi kepentingan negara’ maka anda layak mendapat jaminan kerajaan.

Saksi itu turut berkata, beliau tidak pernah mempunyai pengetahuan mengenai kesukaran mendapatkan jaminan kerajaan melibatkan syarikat yang baharu ditubuhkan.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, biarpun status pemohon adalah syarikat baharu tetapi jika boleh melunaskan hutang, maka kerajaan boleh mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Saya beri contoh Projek Jambatan Kedua, Pulau Pinang yang boleh mengumpul kadar tol, jelas menunjukkan ia boleh menghasilkan pendapatan.

“Begitu juga dengan projek Bakun, ia rancangan yang baik kerana ia menjana elektrik murah yang boleh dijual dengan harga yang lebih tinggi, dengan kata lain jaminan kerajaan boleh diberikan kerana ia membuktikan mereka boleh menjana pendapatan.

Mohd Irwan berkata demikian di hadapan Hakim, Mohd Nazlan Mohd Ghazali dalam perbicaraan dakwaan penyalahgunaan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memasuki hari ke-76 hari ini.

Dalam pada itu, pasukan pembelaan memaklumkan kepada mahkamah akan membawa saksi keempat Isnin ini iaitu seorang pakar dari Australia bagi meneliti dokumen yang dipertikaikan berkaitan kes SRC International.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan permohonan pembelaan untuk memanggil pakar bagi memeriksa dokumen-dokumen dipertikaikan termasuk menyentuh tandatangan tertuduh.

Mahkamah juga memutuskan bahawa pemeriksaan pakar itu akan dijalankan di tempat lain supaya perbicaraan SRC boleh diteruskan pada masa yang sama.

Pada 11 November tahun lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dana SRC International.