Koronavirus: Dua rakyat Malaysia disahkan positif

Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) pada sidang media tadi.
Dr Dzulkefly (tiga dari kanan) pada sidang media tadi.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Dua beranak yang dibawa pulang dalam penerbangan khas Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) ke Wuhan bagi membawa pulang rakyat Malaysia semalam positif koronavirus.

Perkara itu disahkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebentar tadi.

Menurutnya, lelaki yang berumur 45 tahun dan anaknya berusia 9 tahun itu tidak menunjukkan sebarang gejala dan simptom wabak tersebut.

"Bagaimanapun ujian makmal mengesahkan kedua beranak itu positif koronavirus," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua beranak itu ditempatkan di wad isolasi Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk dirawat.

"Mereka berada dalam keadaan stabil," katanya.

Dr Dzulkefly berkata, dua kes yang menunjukkan simptom koronavirus dalam misi sama dan telah dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur semalam disahkan negatif.

Kesemua 131 penumpang, pegawai kerajaan dan kru penerbangan yang menggunakan pesawat Air Asia AK 8264 sedang dikuarantin di Pusat Pemantauan di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) Nilai, Negeri Sembilan.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, Malaysia mencatat 12 kes positif koronavirus dan daripada jumlah itu, satu kes iaitu kanak-kanak warga China yang dirawat di Hospital Sultanah Maliha telah sihat sepenuhnya dan dibenar pulang.

ARTIKEL BERKAITAN: Kanak-kanak warga China positif koronavirus disahkan sihat

Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata, KKM berjaya mengesan 74 kontak rapat bagi kes pertama melibatkan rakyat Malaysia semalam.

"Daripada jumlah itu, 35 kontak telah diambil sampel bagi ujian saringan dilakukan.

"Pengesanan masih dilakukan dan kesemua yang telah dikesan diletakkan di bawah pengawasan di rumah," katanya.

Semalam, seorang lelaki yang berasal dari Selangor disahkan rakyat Malaysia pertama dijangkiti virus berkenaan.

Dia yang berusia 41 tahun mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura dari 16 hingga 23 Januari 2020, bagi menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri oleh beberapa delegasi antarabangsa termasuk negara China.

ARTIKEL BERKAITAN: KKM sahkan kes pertama warganegara Malaysia positif koronavirus