Transgender perlu tunai umrah dengan jantina asal: Mufti WP

Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Wajib bagi seorang transgender (mukhannas) menunaikan umrah dengan jantina asalnya.

Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, dalam konteks isu usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Sajat wajib secara syarak sebagaimana yang termaktub dalam al-Quran dan hadis untuk beribadah dan berpakaian seperti lelaki.

"Umrah sah jika mematuhi rukun umrah, namun perbuatan sedemikian tetap haram dan dikira berdosa, malah dia boleh dikenakan dam kerana melanggar wajib umrah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berhubung isu jantina usahawan kosmetik itu, Dr Zulkifli berkata, semalam Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) mengambil inisiatif bertemu dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mendapatkan pengesahan butiran lengkap.

Menurutnya, berdasarkan maklumat pengesahan daftar kad pengenalan penama yang diperoleh melalui JPN, nama yang tertera adalah Muhammad Sajjad Kamaruzaman.

"Jantina penama didaftarkan sebagai lelaki. Semakan lanjut pada sijil kelahiran dia juga mendapati penama dilahirkan sebagai lelaki.

"Sehingga kini, tidak ada dokumen rasmi perubatan yang dikemukakan Muhammad Sajjad bagi membuktikan bahawa beliau adalah wanita.

"Maka pendirian PMWP berkenaan jantina beliau adalah berdasarkan apa yang tertera dalam daftar kad pengenalannya dan sijil kelahirannya. Justeru, segala hukum-hakam ibadat hendaklah diikut secara lelaki," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Zulkifli juga mencadangkan Muhammad Sajjad menzahirkan diri sebagai lelaki sementara masih berada di Tanah Suci.

"Sepanjang tempoh berkenaan, Sajat disyorkan agar mengambil peluang beribadat kepada ALLAH SWT dengan sungguh-sungguh di samping mengisi masa dengan bertaubat, beristighfar, berselawat ke atas Nabi Muhammad SAW dan menunaikan solat di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

"Saya doakan semoga ALLAH SWT kurniakan kebaikan, taufik dan hidayah kepada saudara Muhammad Sajjad.

"Jadikanlah umrah kali ini sebagai satu titik perubahan dalam kehidupan anda," katanya.

Menurutnya, agensi pengelola umrah wajib bertanggungjawab sepenuhnya dengan memelihara dan membimbing jemaah supaya mereka mengikut hukum syarak dan undang-undang setempat.

"Kepada semua termasuk diri ini terutamanya netizen, jangan mudah memberi komen.

"Fahami latar belakang isu terlebih dahulu di samping meraikan adab, tabayyun (selidik) dan uslub (gaya) dakwah yang akan memberi banyak kesan sama ada positif atau negatif," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN Kerajaan kesal Sajat bertelekung di Tanah Suci: Mujahid

Umrah lelaki berkelakuan wanita tidak sah: Mufti