Tiada catuan air di Kedah

Dari kiri; Ahmad Faizal, Charles dan Zamri pada sidang media selepas sesi taklimat situasi perkhidmatan bekalan air di Kedah semalam.
Dari kiri; Ahmad Faizal, Charles dan Zamri pada sidang media selepas sesi taklimat situasi perkhidmatan bekalan air di Kedah semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Catuan air tidak akan dilakukan di Kedah walaupun kapasiti air di empangan utama berlaku penyusutan sepanjang musim kemarau kali ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, bekalan air di Kedah masih mampu bertahan setakat ini.

Menurutnya, empat empangan utama menunjukkan kadar penyusutan ketara iaitu Empangan Muda dengan peratus takungan semasa 8.80 peratus, Empangan Pedu (41.22 peratus), Empangan Ahning (59.10 peratus) termasuk Empangan Beris.

“Walaupun loji di Kedah menyusut, tiada keperluan untuk catuan bekalan air namun sekiranya keadaan penyusutan terus berlaku hingga akhir Februari, Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan membuat penilaian semula,” katanya pada sidang media selepas sesi taklimat situasi perkhidmatan bekalan air di Kedah di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Exco Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air dan Tenaga Kedah, Datuk Zamri Yusuf.

Charles berkata, pada masa sama pihaknya meminta penduduk berjimat dengan menurunkan kadar penggunaan air kepada 180 liter seorang sehari berbanding 230 liter direkodkan di negeri itu.

“Pelan mitigasi yang dibentangkan SADA menunjukkan bekalan mencukupi untuk diagihkan di seluruh kawasan namun tiga kawasan bertekanan rendah di Merbok, Gurun dan Kuala Kedah akan diberi tumpuan. Beberapa pelan jangka pendek dan panjang juga disediakan untuk tangani krisis ini,” katanya.

Charles turut mohon kerjasama semua pihak agar tidak melonggokkan sampah haram berdekatan sumber air terutama sungai kerana boleh menjejaskan kualiti dan kebersihan air dirawat.

Artikel Berkaitan:

“Saya kesal kerana kawasan tadahan Sungai Ulu Muda dicemari pencemaran longgokan sampah elektronik sebesar tujuh padang bola oleh pihak tidak bertanggungjawab Julai tahun lalu. Terbaru, ada pula sampah plastik haram sebesar dua lombong pasir sedalam 30 kaki di Kampung Belida, Kuala Ketil, Baling,” katanya.

Sementara itu, Zamri berkata, agihan bekalan air akan diberikan keutamaan kepada domestik memandangkan musim pertanian akan datang bermula pada April.

“Kita mampu bekalkan air untuk domestik namun penggunaan harus dikawal agar bekalan tidak terjejas,” katanya.

Menurutnya, lori tangki air turut digerakkan ke kawasan hujung rangkaian yang tidak menerima bekalan air dengan menyediakan 29 lori tangki termasuk tangki statik untuk pengguna.