Cuaca panas: Empangan utama Negeri Sembilan tidak terjejas

Aminuddin (dua dari kanan) bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri pentadbiran daerah Kuala Pilah pada Khamis.
Aminuddin (dua dari kanan) bersalaman dengan tetamu yang hadir pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri pentadbiran daerah Kuala Pilah pada Khamis.
A
A
A

KUALA PILAH - Cuaca panas berpanjangan melanda negara ketika ini tidak menjejaskan paras air di tujuh empangan utama di Negeri Sembilan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, paras air di empat daripada tujuh empangan itu adalah 100 peratus penuh iaitu empangan Talang, Pedas, Gemencheh dan Ulu Sepri.

"Tiga lagi empangan iaitu empangan Sungai Terip, Kelinci dan Teriang merekodkan paras air melebihi 94 peratus.

"Jadi, ini merupakan keadaan yang baik dan dengan cuaca yang panas ini pengguna juga diingatkan untuk menggunakan air dengan bijaksana," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri pentadbiran daerah Kuala Pilah di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Aminuddin turut memberi jaminan bahawa bekalan air mencukupi untuk kegunaan penduduk di negeri ini.

"Kita tidak tahu masa terdekat ini apa akan berlaku jadi bermula daripada sekarang kalau boleh kita menjaga sumber air kita dan kita harap juga bahawa masyarakat terus bagi kerjasama dengan tidak membuang sampah ke sungai kita apatah lagi sisa toksik," katanya.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam laman web rasminya meramalkan cuaca di Negeri Sembilan mengalami ribut petir di satu dua tempat di kawasan pedalaman pada Khamis, namun dijangka tiada hujan sehingga Ahad ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan fenomena cuaca panas ketika Monsun Barat Daya yang dijangka bermula Isnin depan akan menjadi lebih buruk dengan risiko kemarau, jerebu serta gelombang haba yang tinggi sekiranya El Nino turut berlaku di negara ini.

Fenomena tersebut bagaimanapun bukan sahaja berisiko berlaku di Malaysia, bahkan di rantau Asia Tenggara.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan sebanyak 30 gerai makanan terdapat di jamuan Hari Raya Aidilfitri pentadbiran daerah Kuala Pilah yang menyajikan pelbagai jenis makanan antaranya lemang, rendang, cendol, kuih-muih termasuk apam johol.