UCYP perkenal kursus fesyen, penuhi pasaran kerja

Burhah bersama tetamu yang hadir pada majlis minum petang dan pertunjukan fesyen di Aqua Crystal Hall, Kampus Utama Tanjung Lumpur.
Burhah bersama tetamu yang hadir pada majlis minum petang dan pertunjukan fesyen di Aqua Crystal Hall, Kampus Utama Tanjung Lumpur.
A
A
A

KUANTAN - Program baharu Diploma Rekaan Fesyen (Diploma in Fashion Design) University College Yayasan Pahang (UCYP) yang bakal memulakan pengambilan pertama Jun nanti dijangka dapat menarik perhatian lebih 30 pelajar negeri ini.

Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin berkata, kursus itu sesuai dengan pasaran kebolehkerjaan pada masa kini sekali gus membentuk usahawan yang bakal mencipta pekerjaan, pada masa akan datang.

Menurutnya, evolusi fesyen yang berkembang seiring dengan peredaran zaman telah mencetuskan satu fenomena kepada remaja sekarang.

"Dengan mengikuti kursus sebegini pelajar bukan sahaja dididik dengan kemahiran sebaliknya tidak hanya berharap dengan kerja makan gaji selepas tamat belajar nanti. Siapa tahu mungkin mereka pula yang memberi kerja kepada orang lain apabila berjaya membuka bisnes sebagai pereka fesyen, perunding dan sebagainya.

"UCYP mengambil inisiatif memperkenalkan program baharu ini atas dasar pembaharuan mengikut cita rasa semasa," katanya ketika ditemui media pada majlis minum petang dan pertunjukan fesyen di Aqua Crystal Hall, Kampus Utama Tanjung Lumpur.

Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin
Naib Canselor UCYP, Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmad Zainuddin

Majlis ini dirasmikan oleh isteri kepada Menteri Besar Pahang yang juga Pengerusi Persatuan Amat Isteri Wakil Rakyat Pahang (Teratai), Datuk Burhah Mohammed.

Artikel Berkaitan:

Lebih 250 orang tetamu hadir memeriahkan sambutan dan perasmian majlis itu.

Ahmad Zainuddin berkata, dalam mewujudkan program-program baharu, UCYP sentiasa peka dengan melakukan kaji selidik mengenai kebolehpasaran sesuatu bidang yang ingin dipasarkan.

Menurutnya, nilai tambah keusahawanan di dalam kursus baharu ini mampu menjadikan ia sebagai satu program yang berdaya saing serta melahirkan usahawan fesyen yang berjaya.

Acara peragaan mengetengahkan tema busana pengantin disertai butik rekaan terkenal Eksotik Collection, Ujies Collection, Malaque Bridal House, Adamaya Collection dan Adlyana Bridal.

Majlis itu dimeriahkan lagi dengan kehadiran pereka fesyen terkenal Salikin Sidek yang turut memperagakan koleksi hasil tangan beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Jabatan Penjenamaan dan Komunikasi Korporat, Suhaila Mukhtar berkata, majlis ini juga sebagai langkah memperkenalkan kemudahan Aqua Crystall Hall yang mampu menarik perhatian bakal raja sehari untuk meraikan majlis perkahwinan mereka.

"Dua pakej perkahwinan diperkenalkan serendah RM19,888 bagi pakej emas (gold) dan RM22,288 bagi pakej platinum. Kedua-dua pakej ini merangkumi sewaan dewan, andaman, pelamin katering dan lain-lain," katanya.

Fesyen busana pengantin yang diperagakan pada majlis memperkenalkan program Diploma Rekaan Fesyen UCYP di Tanjung Lumpur baru-baru ini.
Fesyen busana pengantin yang diperagakan pada majlis memperkenalkan program Diploma Rekaan Fesyen UCYP di Tanjung Lumpur baru-baru ini.