Wanita positif koronavirus selamat lahirkan bayi sihat

Hasil ujian sebanyak dua kali ke atas bayi itu mendapati dia negatif jangkitan koronavirus. - FOTO: AGENSI
Hasil ujian sebanyak dua kali ke atas bayi itu mendapati dia negatif jangkitan koronavirus. - FOTO: AGENSI
A
A
A

BEIJING - Seorang wanita hamil yang disahkan positif koronavirus selamat melahirkan seorang bayi perempuan di sebuah hospital di Harbin di wilayah timur laut Heilongjiang pada Khamis lalu.

Perkara itu diumumkan Suruhanjaya Kesihatan Perbandaran Harbin semalam dan mengesahkan bayi seberat 3.05 kilogram itu turut diberikan skor 10 pada skala Apgar (merujuk kepada tahap kesihatan bayi) sejurus kelahirannya.

Difahamkan, skor 7 dan ke atas biasanya adalah normal bagi seorang bayi yang baru lahir.

Selepas beberapa hari dikuarantin dan dipantau, ibu dan bayi tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Wanita tersebut yang sarat hamil 38 minggu pada minggu lalu turut diberikan konsultasi oleh sekumpulan pakar obstetrik, pernafasan dan neonatologi.

Bagi mengelakkan keadaannya bertambah buruk selepas disahkan dijangkiti wabak itu, pakar terbabit memutuskan untuk melakukan pembedahan segera ke atasnya.

Kesemua kakitangan perubatan yang terlibat dalam prosedur pembedahan telah diletakkan di bawah langkah pengasingan untuk pemantauan lanjut.

Sementara itu, keputusan ujian sebanyak dua kali ke atas bayi terbabit mendapati dia negatif jangkitan koronavirus tersebut. - Agensi

Artikel Berkaitan: