Bayi perempuan ditinggalkan di masjid

Seorang bayi perempuan ditinggalkan di hadapan Masjid An Najihah, Sungai Kepar, Semanggol pada Jumaat. - Foto: ihsan polis
Seorang bayi perempuan ditinggalkan di hadapan Masjid An Najihah, Sungai Kepar, Semanggol pada Jumaat. - Foto: ihsan polis
A
A
A

BAGAN SERAI - Seorang bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan ditemui di hadapan pintu utama Masjid An Najihah, Sungai Kepar, Semanggol di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Juna Yusoff berkata, polis ke tempat kejadian selepas menerima maklumat awal sekitar jam 12.45 tengah hari.

"Pemeriksaan mendapati terdapat seorang bayi perempuan berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kecederaan telah ditinggalkan dalam balutan kain.

"Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati seorang wanita telah masuk ke kawasan masjid berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Menurut beliau, berdasarkan rakaman itu, wanita berkenaan meninggalkan bayi itu sekitar jam 11.58 pagi sebelum beredar.

"Polis meminta agar wanita terbabit untuk segera tampil ke IPD Kerian bagi membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran," katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Ng Boon Jian di talian 05-7212222 untuk bantu siasatan.