Israel beri bayangan mahu ceroboh selatan Lubnan
TEL AVIV - Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant memberi amaran waktu semakin suntuk untuk mencapai penyelesaian diplomatik bagi menghentikan konflik rentas sempadan.
“Usaha untuk mencapai rangka kerja bagi meredakan ketegangan di kawasan utara semakin sukar selagi Hizbullah 'terikat' dengan pejuang Hamas di Genting Gaza,” katanya kepada Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin pada Isnin.
Hizbullah bagaimanapun menegaskan, konflik rentas sempadan itu hanya akan berakhir jika gencatan senjata secara kekal dicapai di Gaza.
Media tempatan melaporkan ketua pusat perintah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) di kawasan utara Tel Aviv mencadangkan operasi segera untuk menubuhkan zon penampan di selatan Lubnan berikutan pertempuran rentas sempadan yang semakin meruncing.
Sebelum ini, Hizbullah menyatakan ia enggan terlibat perang lebih meluas, namun tidak teragak-agak bertindak balas jika Israel terlebih dahulu memalu gendang perang.
Kempen ketenteraan IDF semakin caca marba setelah rejim Zionis dikatakan bersiap siaga untuk menceroboh selatan Beirut di tengah-tengah perang genosid ke atas Gaza yang terus diperhebatkan.
Rancangan itu semakin jelas apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan angkuh berikrar untuk memastikan ribuan penduduk dapat kembali semula ke utara, sekali gus memberi bayangan tentang perang baharu diperluaskan ke Lubnan.
Terdahulu, Gallant berkata, tindakan ketenteraan kononnya sebagai satu-satunya cara untuk melaksanakan rancangan terhadap komuniti pendatang Yahudi tersebut.
Risiko perang lebih dahsyat di rantau Asia Barat semakin hampir setelah gerakan Huthi di Yemen memberitahu ia bersedia menghantar ribuan pejuang terlatih menyertai Hizbullah.
Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar juga dengan lantang menyatakan bersedia untuk terlibat perang lebih panjang bersama rejim Zionis.
“Kami akan bergabung dengan gerakan pejuang lain di bawah Paksi Penentangan anti-Israel untuk menewaskan musuh habis-habisan,” tegas Sinwar. - Agensi