Operator kilang rugi RM11,000 ditipu 'pegawai mahkamah'

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang operator kilang kerugian kira-kira RM11,000 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai mahkamah semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, wanita berusia 24 tahun itu dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai mahkamah Putrajaya.

Menurutnya, suspek memberitahu mangsa kononnya terlibat dengan pengubahan wang, namun mangsa menafikannya.

"Selepas mangsa menafikan, panggilan tersebut disambungkan kepada seorang lagi suspek yang menyamar sebagai pegawai polis. Suspek menakut-nakutkan mangsa dengan menyatakan ada waran tangkap yang dikeluarkan atas nama mangsa.

"Mangsa yang ketakutan telah mengikut arahan diberikan suspek yang meminta dia memindahkan wang RM11,000 ke satu akaun kononnya milik Jabatan Audit Negara untuk tujuan siasatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas memberitahu perkara itu kepada saudaranya.

"Selepas menceritakan perkara itu kepada saudaranya, baru mangsa menyedari dia telah ditipu dan diperangkap oleh sindiket Macau Scam. Dia kemudiannya membuat laporan polis.

"Saya menasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan muslihat serta tipu helah sindiket. Jangan sesekali mudah panik dan mengikut arahan yang diberikan oleh pemanggil yang tidak dikenali, sebaliknya hubungi pihak polis atau organisasi yang terlibat untuk sebarang pengesahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.