Warga emas rugi lebih RM90,000 ditipu sindiket tawaran kerja

Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM90,000 apabila diperdaya sindiket penipuan tawaran pekerjaan bulan lepas. - Foto hiasan 123RF
Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM90,000 apabila diperdaya sindiket penipuan tawaran pekerjaan bulan lepas. - Foto hiasan 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas kerugian lebih RM90,000 apabila diperdaya sindiket penipuan tawaran pekerjaan bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, lelaki tempatan berusia 63 tahun itu, telah ditawarkan peluang pekerjaan oleh seorang individu tidak dikenali melalui aplikasi Telegram pada 19 Mei lepas.

Zam Halim berkata, mangsa yang tidak mempunyai pekerjaan ditawarkan wang komisen untuk tekan butang langganan (subscribe), bagi saluran YouTube yang diberikan.

"Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah melaksanakan tugasan tekan butang subscribe pada tiga saluran YouTube yang diberikan, dan telah menerima wang komisen sebanyak RM90 yang dimasukkan dalam akaunnya.

"Bagi melengkapkan tugasan yang seterusnya, mangsa telah diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam beberapa akaun bank sehingga mencecah RM93,381.96, bagaimanapun beliau tidak menerima sebarang komisen yang dijanjikan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zam Halim berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu.

Beliau turut menasihati orang ramai tidak mudah terpedaya dengan mana-mana sindiket tawaran pekerjaan yang menjanjikan pulangan lumayan dan segera tampil membuat laporan polis sekiranya menjadi mangsa dalam kes penipuan. - Bernama