Penjara, denda 10 kali ganda nilai suapan banteras rasuah
SHAH ALAM - Individu bersalah terlibat dalam rasuah atau penyalahgunaan kuasa perlu dikenakan hukuman berat merangkumi denda yang tinggi dan tempoh penjara lebih panjang bagi membanteras jenayah itu.
Pengerusi Gabungan Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan dan Putrajaya, Profesor Dr Hamdan Daniel M Sharib berkata, golongan tersebut patut dikenakan hukuman denda 10 kali ganda berbanding nilai suapan agar menjadikan gerun kepada pelaku rasuah.
"Peruntukan hukuman sedia ada dilihat masih tidak cukup berat, malah penalti dikenakan juga kurang memberi kesan terhadap pesalah rasuah.
"Denda lebih berat membuatkan mereka rasa sangat menakutkan dan masa depan yang gelap selepas disabitkan kesalahan.
"Mereka juga patut dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan rotan mandatori. Hukuman berat dikenakan bagi kesalahan mengedar dadah juga mungkin boleh dilaksanakan untuk membendung masalah rasuah di negara ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Sebelum ini, seorang penolong pegawai perubatan dan empat jururawat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM146,000.
Menurut sumber, semua suspek yang berkhidmat di salah sebuah pusat kesihatan di negeri ini ditahan kira-kira jam 9.40 pagi Selasa, ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, di Kota Kinabalu.
Tambah Hamdan Daniel, usaha memerangi rasuah perlu membabitkan kerjasama semua pihak kerana ia tidak dapat dilaksanakan mana-mana individu atau organisasi secara solo.
Ujarnya, komitmen pelbagai pihak amat penting terutama dalam mengamalkan prinsip benci rasuah dengan membudayakan antirasuah dalam diri sendiri demi kelangsungan hidup aman bahagia tanpa jenayah tersebut.
"Apa yang penting, kerajaan perlu tegas dan menggandakan usaha memerangi rasuah dalam semua aspek terutama dalam kalangan penjawat awam.
"Dua aspek utama perlu diberi perhatian iaitu hukuman tegas dilaksanakan tanpa gentar dan pilih kasih serta seterusnya melakukan langkah pencegahan untuk mengukuhkan integriti.
"Tegas dan tidak pilih kasih ialah dua kata kunci penting serta wajib dijadikan prinsip utama kerajaan serta petugas atau pemantau integriti di setiap jabatan," katanya.