X

Kindly register in order to view this article
!

Hospital kedua koronavirus siap dibina dalam tempoh 10 hari

Hospital hampir siap yang turut digelar Fire God Mountain itu diserahkan kepada tentera semalam. - Foto AFP
A
A

BEIJING - Ia kedengaran pelik tetapi benar-benar berlaku di China yang kini bergelut dengan serangan koronavirus yang meragut lebih 300 nyawa manakala kira-kira 14,380 kes jangkitan direkodkan.

Minggu lalu, sebuah hospital khas di barat daya Wuhan berjaya disiapkan dalam tempoh 48 jam dan turut dilengkapi bekalan air, elektrik dan internet serta 1,000 katil untuk merawat pesakit selepas kes jangkitan wabak maut itu semakin meningkat pada setiap hari.

Dabie Mountain Regional Medical Centre yang diubah suai daripada sebuah bangunan kosong menjadi hospital koronavirus pertama di China dan mula menerima kumpulan pesakit pada jam 10.30 malam pada Selasa lalu.

Lebih 500 pekerja binaan, juruelektrik dan polis bekerja keras tanpa henti untuk melaksanakan projek hospital di daerah Huanggang tersebut.

Pada mulanya, ia dirancang untuk dibuka sebagai sebuah hospital biasa pada Mei depan, namun ancaman koronavirus yang semakin meningkat menyebabkan mereka bertungkus-lumus menyiapkan projek tersebut dalam tempoh singkat iaitu selama dua hari.

Sebuah lagi hospital khas koronavirus, Hospital Huoshenshan yang akan mula dibuka hari ini juga menggunakan struktur pasang siap seperti Hospital Xiaotangshan yang pernah menjadi pusat perubatan khas di Beijing dan dibina dalam tempoh tujuh hari untuk merawat pesakit dijangkiti wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2003.

Pekerja binaan bertungkus-lumus menyiapkan hospital tersebut dalam tempoh 10 hari. - Foto AFP
Pekerja binaan bertungkus-lumus menyiapkan hospital tersebut dalam tempoh 10 hari. - Foto AFP

Stesen penyiar rasmi China, CCTV turut menyiarkan secara langsung kerja pembinaan kesemua hospital terbabit dan didakwa berjaya meraih lebih 40 juta tontonan.

Rakaman tersebut menunjukkan bagaimana jentera berat beroperasi sepanjang masa untuk pembinaan hospital tersebut yang merupakan salah satu daripada empat kemudahan khas untuk merawat pesakit koronavirus yang dirancang di seluruh negara.

Pusat perubatan hampir siap dilengkapi kira-kira 1,000 katil yang turut digelar sebagai Fire God Mountain Hospital itu diserahkan kepada tentera semalam selepas projek pembinaannya bermula 10 hari lalu.

Kira-kira 1,400 anggota perubatan tentera akan ditempatkan di kemudahan tersebut.

Hospital Huoshenshan yang dilengkapi kira-kira 1,000 katil akan mula beroperasi hari ini. - Foto AFP
Hospital Huoshenshan yang dilengkapi kira-kira 1,000 katil akan mula beroperasi hari ini. - Foto AFP

Selain itu, satu lagi kemudahan khas koronavirus, Hospital Leishenshan dibina di kawasan seluas kira-kira 60,000 meter persegi termasuk 51,000 meter persegi yang menempatkan unit kuarantin dan 9,000 meter persegi asrama untuk menempatkan kira-kira 2,000 kakitangan perubatan.

Agensi berita Xinhua melaporkan idea asal projek itu adalah untuk membina hospital dilengkapi 1,300 katil, namun kerajaan Wuhan memutuskan untuk menambah 300 katil berikutan jumlah kes yang semakin meningkat pada setiap hari.

Hospital Leishenshan atau Thunder God Mountain Hospital itu dijadualkan akan mula beroperasi pada Rabu ini.

Keadaan di dalam wad di Hospital Huoshenshan yang akan merawat pesakit dijangkiti koronavirus. - Foto AFP
Keadaan di dalam wad di Hospital Huoshenshan yang akan merawat pesakit dijangkiti koronavirus. - Foto AFP

Kedua-duanya dikatakan akan dikendalikan oleh pasukan perubatan tentera.

ARTIKEL BERKAITAN: Bandar Wenzhou pula kuarantin penduduk, tutup jalan

Koronavirus: Kematian di China meningkat kepada 304

Sementara itu, projek pembinaan hospital ketiga dan keempat dikatakan sedang dirancang dalam masa terdekat.

Minggu lalu, Beijing bertindak segera menghantar lebih 6,000 kakitangan perubatan termasuk doktor tentera ke wilayah Hubei yang menjadi pusat penyebaran wabak tersebut yang kini telah merebak ke lebih 20 negara. - Agensi