Tak dibenarkan pasang bacaan al-Quran di kawasan orang ramai yang sibuk
MEMBACA al-Quran sememangnya begitu dituntut dalam Islam dan mendatangkan pahala yang begitu besar imbalannya.
Bagaimanapun, bukan semua keadaan atau tempat sesuai untuk kita mengalunkannya kerana ia merupakan kitab suci umat Islam terkandung bait-bait kalam ALLAH yang perlu dimuliakan.
Pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli mengingatkan, tidak dibenarkan untuk membaca al-Kitab itu dengan suara kuat mahupun memasang bacaan ayat-ayat suci itu di kawasan orang ramai yang sedang fokus kepada urusan lain.
“Sebagai contoh, membaca al-Quran dengan suara yang kuat atau memasang bacaan kalamullah itu di pasar, kedai-kedai makan dan seumpamanya.
“Pendapat itu disebutkan oleh Al-Syaikh Mansur Al-Buhuti Al-Hanbali Rahimahullah yang menyatakan, ‘Tidak boleh untuk meninggikan suara bacaan al-Quran di pasar-pasar dalam keadaan sibuknya mereka yang berada di sana dengan perniagaan mereka dan tidak fokusnya mereka dalam mendengar al-Quran kerana padanya terdapat unsur menrendah-rendahkan al-Quran’,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran yang dikongsikan di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.
Jelas Ustaz Muhammad Fahmi lagi, menurut kitab Syarah Muntaha al-Iradat, saat ayat al-Quran dialunkan, kita dituntut supaya mendengarnya dengan fokus dan diam.
Ia sepertimana dinyatakan jelas menerusi firman-NYA: “Dan apabila dibacakan al-Quran, hendaklah kalian mendengarnya dengan teliti dan hendaklah kalian diam, mudah-mudahan kalian mendapat rahmat.” (Surah al-A’raf: 204)
“Mengertilah, tuntutan ini tidak dapat dipenuhi jika seseorang sedang sibuk dengan urusan-urusan lain seperti makan dan minum, berjual beli dan selainnya.
“Disebabkan itu kita dikehendaki memuliakan al-Quran dengan tidak membacanya di kawasan orang ramai yang sibuk dengan urusan pekerjaan tertentu,” katanya.
Sekiranya kalam ALLAH itu tetap dibacakan di tempat disebutkan tadi, maka tegas penceramah tersebut, seseorang itu dikira sebagai mengabaikan kemuliaan al-Quran, sekali gus dosa ‘jatuh’ ke atas dirinya dan bukan terhadap mereka yang sibuk bekerja.
“Demikian pandangan yang dinyatakan oleh Ibnu ‘Abidin daripada kalangan Hanafiyyah berdasarkan kitab Hasyiahnya.
“Bahkan, ia juga menjadi fatwa yang dipegang oleh Dar al-Ifta’ al-Misriyyah,” coretnya.
Fakta sama turut ditemukan dalam Fatwa Negeri Perlis tentang memperdengarkan bacaan al-Quran di tempat awam.
Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-36 pada 23 dan 24 Julai 2018 memutuskan tegahan untuk memperdengarkan bacaan al-Quran di kawasan-kawasan awam termasuk gerai makanan, restoran, sekolah dan seumpamanya dalam keadaan menyebabkan al-Quran diabaikan, tidak dihormati serta boleh memberi persepsi merendahkan nilaian kalamullah itu.
“Al-Quran ialah kalam ALLAH yang diturunkan sebagai panduan manusia.
“Oleh itu, al-Quran hendaklah dibaca, didengari dan difahami isi kandungannya untuk diamalkan dalam kehidupan,” katanya sebagaimana dicoretkan dalam laman web muftiperlis.gov.my.
Bagaimana pula jika bacaan ayat al-Quran itu dipasang di kedai sambil berniaga dan tuan kedai pula berurusan serta bercakap ketika kalamullah itu dibaca?
Menurut Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, tidak menjadi satu kesalahan berbuat demikian, malah dibenarkan untuk tidak mendengar bacaan al-Quran yang dipasangnya disebabkan kesibukan bekerja.
Namun begitu, katanya, mereka perlu memastikan keadaan dan suasana kedai itu tidak terlalu bising dan sibuk seperti di pasar-pasar dan sebagainya bagi memastikan kemuliaan bacaan ayat suci al-Quran terhindar daripada perbuatan serta percakapan yang lagha.
“Sebolehnya kita jagalah adab dengan sebaiknya dalam mendengar al-Quran seperti tidak meninggikan suara tanpa keperluan yang mendesak ketika berurusan dan kembali mendengarnya selepas selesai pekerjaan dilakukannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel Al-Kafi #1709: Hukum memasang ayat al-Quran dan tidak mendengarnya ketika berniaga.