‘Polis Johor’ tipu ahli perniagaan Miri RM 30,000

Macau Scam
Macau Scam
A
A
A
MIRI - Seorang ahli perniagaan di sini kerugian RM30,000 selepas terpedaya dengan sindiket ‘Macau Scam’ yang menyamar sebagai polis dari Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Supt Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata lelaki berusia 29 tahun tersebut menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki mengaku ‘Koperal Asman’ yang memberitahu mangsa ada saman di Johor.

Saman tersebut adalah akibat kes kemalangan langgar lari melibatkan kereta sewa Proton Saga yang berlaku pada 19 November 2018 di Simpang Empat, Johor sedangkan mangsa berada di Miri pada tarikh berkenaan, katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Mustafa berkata mangsa disuruh menghubungi Balai Polis Johor Bahru di talian 073532124 untuk tindakan susulan selepas dikatakan maklumat peribadi mangsa digunakan oleh orang lain.

Mangsa menghubungi nombor yang diberikan dan selepas memaklumkan maklumat peribadi kepada wanita mengaku ‘Sarjan Selina’, mangsa diberitahu dia terlibat kes pengubahan wang haram dan pengedaran dadah bernilai RM2.28 juta melalui akaun sebuah bank.
Artikel Berkaitan:


Mangsa kemudian diminta menghubungi ‘Insp Max’ bagi mendapatkan bantuan dan suspek yang berkata waran tangkap telah dikeluarkan terhadap mangsa meminta lelaki itu memindahkan wang berjumlah RM30,000 daripada akaunnya ke akaun seorang individu lain untuk memeriksa sama ada duit itu bersih atau tidak.

Mangsa hanya menyedari ditipu selepas memindahkan wang tersebut melalui transaksi dalam talian dan membuat laporan polis semalam, katanya. - Bernama